NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PASTI bantu guru ditimpa musibah di Melaka



TANGGA BATU: Pimpinan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia telah menyerahkan bantuan kepada tiga guru dan PASTI Al-Munawwarah Utama, Durian Tunggal yang ditimpa musibah baru-baru ini ketika kunjungan ke negeri ini, hari ini.

Ketua Pengarah PASTI, Ustaz Damanhuri Dol berkata, sumbangan tersebut adalah di bawah manfaat Skim PASTI di mana ia diwujudkan bagi membantu warga pendidik PASTI yang ditimpa musibah untuk meringankan beban ditanggung mereka.

Beliau menyatakan perkara itu semasa menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada dua guru PASTI iaitu Sharliza Ali dan Rokiah Jantan yang kediaman mereka terlibat dalam kebakaran pada awal bulan ini.

“Bagi pihak PASTI Malaysia kita alhamdulillah dapat turun ke Melaka hari ini. Kita dapat melihat sendiri untuk sama-sama merasai kesedihan dan juga apa yang berlaku kepada dua tenaga penting PASTI Malaysia iaitu Pengurus PASTI dan juga isteri beliau guru kanan di PASTI ini dan juga Cikgu Rokiah.

“Hasil daripada Skim PASTI yang kita wujudkan dapat membantu guru-guru kita yang ditimpa musibah. Mudah-mudahan juga sebagai satu sumbangan yang dapat merapatkan lagi hubungan antara pihak pengurusan dan juga dengan guru PASTI,” ujarnya.

Dalam kejadian kebakaran tersebut, rumah kedua-kedua guru itu terletak bersebelahan antara satu sama lain di Kampung Bukit Rambai terbakar bermula dari rumah Rokiah yang musnah sepenuhnya, manakala rumah Sharliza rosak teruk di bahagian dapur.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin yang turut hadir pada lawatan tersebut mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan pihak PASTI Pusat.

“Kami di peringkat Pusat Khidmat Parlimen, kami sudah menyampaikan bantuan awal sebelum ni. Tetapi kami dalam proses untuk insya-Allah, kalau rumah Cikgu Sharliza ni kita akan adakan gotong-royong.

“Kita tengah kumpulkan dana untuk gotong-royong untuk kita buat kembali dan dianggarkan lebih kurang dalam RM20,000. Jadi kita akan kerjasama dengan NGO Prihatin,” ujar beliau.

Beliau turut memohon jasa baik orang ramai untuk sama-sama membantu dengan menghulurkan sumbangan ke akaun NGO Prihatin tersebut bagi tujuan itu.

Tambah Bakri, bagi membina semula rumah Rokiah yang musnah sepenuhnya, pihaknya telah pun memanjangkan permohonan kepada pihak NGO Muslim Care Malaysia.

Selain itu, katanya, pihaknya juga sedang mengusahakan bantuan daripada peruntukan bencana Pejabat Daerah Melaka Tengah bagi meringankan beban ditanggung keluarga itu.

Sebelum itu, Ustaz Damanhuri telah berkunjung ke Lipat Kajang Jasin bagi menyampaikan sumbangan kepada suami dan kakak kepada Allahyarham Sarah Mohamed Nuwawi, iaitu guru PASTI yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Bemban-Gapam akibat jalan berlubang.

Selepas menyampaikan sumbangan di Bukit Rambai itu, rombongan mereka kemudiannya ke PASTI Al Munawwarah Utama yang terletak di Durian Tunggal bagi menyerahkan sumbangan kepada cawangan tersebut yang dilanda banjir pada bulan lepas.

Turut sama dalam ziarah tersebut pada petang semalam ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh, Pengarah PASTI Melaka, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin dan Pengerusi Majlis Guru PASTI Melaka, Habibah Yaacob dan beberapa orang Ahli Lembaga PASTI Malaysia. – HARAKAHDAILY 20/5/2024






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo