
Sekumpulan aktivis anti-Israel termasuk ahli politik berdemonstrasi bagi membantah tawaran penjualan saham Malaysia Airport Berhad (MAHB) kepada konsortium yang dianggotai Global Infrastructure Partners (GIP).
GIP dikaitkan dengan syarikat pelaburan multinasional Blackrock, yang memiliki pegangan dalam lima syarikat pembekal senjata kepada Israel.
Peserta protes, termasuk anggota parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkumpul di hadapan bangunan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, pagi tadi.

Dipimpin oleh Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), mereka menyerahkan memorandum bantahan bagi menuntut kerajaan membatalkan proses pengambilalihan pegangan saham MAHB yang melibatkan GIP.
Dalam sidang media di situ, Wan Fayhsal yang juga anggota Parlimen Machang berkata kerajaan tidak sepatutnya menyerang pembangkang kerana membantahnya.
"Kerajaan lupa yang membantah penjualan saham (MAHB) ini bukan sahaja pihak pembangkang malah rakyat Malaysia," katanya.

No comments
Post a Comment