Datuk Lokman Noor Adam (kiri) bersetuju memohon maaf secara terbuka dan membayar sejumlah pampasan sebagai penyelesaian susulan kes fitnah yang difailkan terhadapnya oleh Khairy Jamaluddin.
Datuk Lokman Noor Adam (kiri) bersetuju memohon maaf secara terbuka dan membayar sejumlah pampasan sebagai penyelesaian susulan kes fitnah yang difailkan terhadapnya oleh Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, hari ini bersetuju memohon maaf dalam tempoh 30 hari dan membayar pampasan kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Ia di antara terma dipersetujui bagi penyelesaian secara baik kes saman fitnah berhubung isu vaksin COVID-19 dikemuka Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan sebagai plaintif, terhadap Lokman selaku defendan di luar Mahkamah Tinggi.

Ketika prosiding kes saman itu disambung hari ini, peguam Khairy, Abdul Rashid Ismail, berkata terma penyelesaian lain ialah Lokman perlu memadam tujuh 'posting' atau hantaran membabitkan gambar, video dan kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook serta Youtube ahli MKT parti itu.

"Keduanya, defendan setuju untuk tidak siar dan berkongsi semula kenyataan fitnah berkenaan. Defendan juga akan pastikan semua kenyataan fitnah dipadam.

"Defendan setuju menyiarkan permohonan maaf dalam bahasa Melayu serta Inggeris mengikut terma dipersetujui di Facebook dan Youtube defendan.

"Akhir sekali, defendan setuju membayar satu jumlah yang tidak boleh didedahkan sebagai pampasan," katanya.

Hakim, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan, kemudian merekodkan penyelesaian secara baik kes saman itu oleh kedua-dua pihak.

"Tiada perintah untuk kos dalam kes ini. Tahniah (atas penyelesaian kes) dan mahkamah menghargai usaha serta bantuan kedua-dua pihak.

"Alhamdulillah, kita selesai rekodkan penghakiman persetujuan dan terima kasih," katanya.

Lokman tidak hadir pada prosiding, namun diwakili peguam, Logen Eskander Abdullah.

Sementara itu, Khairy ketika ditemui pemberita menzahirkan rasa puas hati apabila Lokman bersetuju memohon maaf dan membayar pampasan terbabit.

"Saya berterima kasih kepada hakim. Puas hati dia (Lokman) perlu minta maaf dan akan bayar seperti mana dipersetujui," katanya.

Khairy, 48, yang memfailkan saman terhadap Lokman, 51, pada 25 Januari 2022, memohon perintah injunksi supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama kapsyen, tajuk serta komen dalam tempoh 24 jam serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

Beliau juga memohon perintah mahkamah supaya defendan memadam kenyataan fitnah yang diterbitkan semula di semua portal berita dan akaun media sosial dalam tempoh 24 jam.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Januari 2022, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Januari.

Khairy berkata, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud, antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga, selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

Katanya, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional, selain menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Sumber | BHarian