NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

HSR: Kerajaan sedia pertimbang konsep konsesi

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata kerajaan mahu projek HSR bernilai RM100 bilion didanai inisiatif swasta. (Gambar Bernama)



PETALING JAYA: Konsep konsesi yang diguna pakai bagi lebuh raya boleh dipertimbangkan untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Katanya, HSR mungkin boleh menjadi pengubah ekonomi negara.

“Tiada sebab untuk kita menolak projek ini, dengan syarat ia dapat memenuhi prinsip digariskan kerajaan termasuk bukan projek diterajui kerajaan.

“Kita mahu sektor swasta melabur modal dan melaksanakan projek itu.

“Jika kita boleh laksana projek lebuh raya menerusi konsesi, mungkin HSR boleh melalui konsep seperti konsesi,” katanya dalam episod audio siar Keluar Sekejap.

Loke berkata, perolehan tanah boleh dirunding selagi mana tidak membebankan kerajaan.

Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian bilateral membiayai HSR pada 13 Dis 2016, namun perjanjian berkenaan ditamatkan pada 1 Jan 2021, selepas beberapa penangguhan.

Jajaran awal 350km dijangka memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura dalam 90 minit, berbanding empat jam menggunakan kereta ketika ini.

Kerajaan sebelum ini berkata ia sedia menghidupkan semula projek RM100 bilion itu jika ada pelabur swasta.

Pada Mac, Kementerian Pengangkutan berkata pemaju projek, MyHSR Corporation Sdn Bhd, masih di peringkat menilai konsep dicadangkan sebelum menyenaraipendek pihak bagi Permintaan Untuk Cadangan (RFP).

Loke berkata, pihak kementerian sedang melihat pembinaan sistem transit massa bagi Johor Bahru untuk dimulakan pembinaan sebelum 2027, pembuka kepada projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

Katanya, terdapat banyak pilihan boleh dipertimbang, termasuk sistem transit bas rapid, sambil menambah kerajaan perlu membuat keputusan tahun ini kerana kertas dasar mesti dibuat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Projek ini sangat penting. Saya bersetuju Johor Bahru memerlukan sistem transit sama ada aliran ringan, bas atau lain-lain,” katanya.

Pada Oktober, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Fazli Salleh berkata kerajaan negeri kenal pasti kemungkinan jajaran bagi sistem transit aliran ringan, yang meliputi hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Kulai.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo