Ambulans yang digunakan dua pekerja yang terbunuh ketika berusaha menyelamatkan kanak-kanak Palestin, Hind Rajab, 6, yang merayu penyelamat Gaza untuk menghantar bantuan ketika terperangkap dalam tembakan tentera Israel. - Foto REUTERS
Ambulans yang digunakan dua pekerja yang terbunuh ketika berusaha menyelamatkan kanak-kanak Palestin, Hind Rajab, 6, yang merayu penyelamat Gaza untuk menghantar bantuan ketika terperangkap dalam tembakan tentera Israel. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meminta Israel memberikan maklumat lanjut mengenai kematian seorang kanak-kanak Palestin berusia enam tahun pada Januari lalu, menurut jurucakap Matthew Miller.

Berikutan itu, beliau menggesa siasatan penuh dilakukan terhadap perkara itu selepas Washington Post menimbulkan keraguan terhadap penjelasan awal.

Sebelum ini, kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Hind Rajab di Gaza, berada dalam ketakutan kerana terperangkap bersama keluarganya yang sudah meninggal dunia di dalam kereta, merayu dalam panggilan telefon kepada anggota penyelamat untuk mendapatkan bantuan.

Menerusi panggilan telefon itu, turut kedengaran bunyi tembakan dan ketika itu mangsa menggambarkan tentera Israel sudah semakin hampir.

Bagaimanapun, ahli keluarganya yang lain hanya menemui kanak-kanak itu 12 hari kemudian bersama ibu saudara, bapa saudara dan tiga kanak-kanak yang lain berhampiran ambulans.

Turut ditemui bersamanya ialah dua pekerja kesihatan yang maut ketika cuba menyelamatkannya.

Washington Post hari ini melaporkan bahawa siasatan mendapati kenderaan perisai Israel berada di kawasan itu, bertentangan dengan dakwaan Angkatan Pertahanan Israel bahawa siasatan awal mendapati pasukannya tidak berada dalam jarak tembakan dari kereta di mana mangsa terperangkap.

"Kami akan kembali kepada kerajaan Israel dan meminta mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut," kata Miller dalam sidang media serta menyebut kematian Hind Rajab sebagai "tragedi yang tidak terkata dan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku".

"Kami mengalu-alukan siasatan penuh mengenai perkara ini dan bagaimana ia berlaku pada mulanya," tambah Miller.

Kedutaan Israel di Washington tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas.

Pegawai AS berkata mereka sedang mengkaji insiden kemudaratan orang awam dalam perang enam bulan oleh Israel di Gaza sebagai sebahagian daripada proses yang bertujuan untuk memastikan senjata yang disediakan pihaknya tidak digunakan dalam pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Miller berkata dalam kes Hind Rajab, selain melakukan siasatan sendiri, pihaknya bertanyakan apa yang ditemui oleh Israel dalam siasatan mereka.

"Itulah yang kami akan kembali kepada AS untuk mendapatkan maklumat baharu dalam isu yang dibangkitkan oleh Washington Post," kata Miller.