NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Status representasi pembebasan Ahmad Zahid diketahui 9 September ini

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 9 September ini untuk mengetahui status representasi dikemukakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya rayuan pihak pendakwaan ditarik balik berhubung pembebasan Timbalan Perdana Menteri itu atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk S M Komathy Suppiah, memutuskan tarikh berkenaan selepas pihak pembelaan Ahmad Zahid memohon untuk menangguhkan prosiding rayuan yang kemudian tidak dibantah pendakwaan.

Pada 29 Disember 2022, pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB untuk menyambung kontrak Visa Luar Negara (VLN) dan Pusat Sehenti (OSC) di China.

Pendakwaan mengemuka 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa, terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes itu.

Hakim itu didakwa terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan gagal menilai secara menyeluruh keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan dihadapi Ahmad Zahid selepas dibebaskan pada 23 September 2022.

Ahmad Zahid didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri, bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan terbabit di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights, Kajang di antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Sumber asal | Buletin TV3

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo