NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MH370 : 10 tahun berlalu, keluarga mangsa masih tercari-cari jawapan

Acara peringatan tahunan ke-10 kehilangan MH370 hari ini dihadiri kira-kira 200 orang, termasuk Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, ahli keluarga mangsa, dan pegawai daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi mencari.

SUBANG JAYA: Sepuluh tahun selepas penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa jejak, keluarga penumpang dan kru yang hilang masih menanti jawapan.

Nicolette Gomes, 39, anak kepada penyelia penerbangan Patrick Gomes berkata, beliau masih berharap bapanya hanya “sesat” dan akan pulang suatu hari nanti.

“Kemudian, saya sedar hakikatnya, dan cuba menerimanya, namun kita tak boleh hentikan usaha (selama 10 tahun ini).


Nicolette Gomes.

“Kita hanya perlu yakin bahawa segala-galanya akan jadi lebih baik,” kata Gomes kepada FMT pada acara peringatan tahunan ke-10 bagi MH370.

Acara itu dihadiri kira-kira 200 orang, termasuk Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, keluarga penumpang dan kru, serta pegawai daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi mencari susulan kejadian itu.

Intan Maizura Othaman, 43, isteri kepada kru kabin Hazrin Hasnan berkata, beliau dan ahli keluarganya telah meneruskan kehidupan, namun masih mencari jawapan tentang apa yang berlaku terhadap suaminya.

“Memang azali manusia, apabila kita kehilangan sesuatu, kita ingin tahu ke mana ia pergi. Seluruh dunia ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku,” kata Intan.

Susulan pengumuman Loke bahawa kerajaan bersedia meneruskan usaha mencari pesawat MH370 yang hilang, Hareez Danni Junaidi, 21, berharap kerajaan akan menunaikan janjinya.


Hareez Danni Junaidi (kanan) berkata, sejak sedekad lepas, begitu banyak janji telah ditabur berhubung pencarian pesawat MH370 tanpa hasil.

Hareez, anak kepada seorang lagi kru kabin, Junaidi Kassim, berusia 11 tahun ketika kejadian itu berlaku.

Sejak sedekad lalu, katanya, begitu banyak janji telah ditabur berhubung pencarian pesawat itu, tetapi tiada hasil.

“Saya harap kerajaan melakukan sesuatu yang lebih dan teruskan pencarian sebagai bukti usaha sedang dijalankan.

“Jangan tunggu kami hadiri acara ini setiap tahun, kemudian barulah keluarkan kenyataan,” kata Hareez.

Awal hari ini, Loke berkata, kerajaan bersedia untuk berbincang dengan pihak yang berminat meneruskan pencarian MH370.

Katanya, beliau telah memberikan arahan kepada kementeriannya untuk mengundang syarikat robotik marin Ocean Infinity bermesyuarat berhubung cadangan “no cure, no fee” terbaru dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.

Pesawat MH370 yang membawa 229 penumpang dan 12 kru hilang tanpa jejak pada 8 Mac 2014, ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Punca kehilangannya belum dapat dipastikan.

Sumber | FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo