NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umno akan kumpul sejuta tandatangan petisyen mohon pengampunan Najib

Presiden Umno Zahid Hamidi dilapor mengarahkan ketua-ketua bahagian Umno mengumpul sejuta tandatangan bagi petisyen mendapatkan pengampunan penuh Najib Razak.


KUALA LUMPUR: Ketua-ketua bahagian Umno telah diarahkan mengumpul sejuta tandatangan bagi petisyen untuk mendapatkan pengampunan penuh bekas perdana menteri Najib Razak.

Arahan itu dikeluarkan oleh Presiden Umno Zahid Hamidi dalam pertemuan tertutup bersama ketua-ketua bahagian hari ini, menurut seorang ketua bahagian yang enggan namanya disiarkan.

“Hari ini, ketua bahagian (Umno) diminta kumpul sejuta tandatangan memorandum daripada ketua cawangan dan ahli Umno untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Ini salah satu arahan dibuat kepada kami, ketua bahagian,” katanya kepada FMT ketika ditemui selepas perjumpaan dengan Zahid di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang tadi.

Ketua bahagian Umno itu berkata, mereka diberi masa sehingga 9 Feb untuk mendapatkan jumlah tandatangan tersebut.

Tambahnya, presiden Umno itu turut melafazkan ikrar akan terus berusaha keras mendapatkan pengampunan penuh buat Najib.

Kelmarin, Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman penjara Najib dipendekkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. Najib dijangka akan dibebaskan dari penjara pada 2028.

Lembaga itu diketuai Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan serta tiga lagi individu yang dilantik Agong.

Semalam, Zahid mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang diadakan susulan keputusan Lembaga Pengampunan itu..

Selepas mesyuarat itu, Umno mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menghormati keputusan Agong terdahulu mengurangkan hukuman penjara dan denda Najib.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki pada sidang medianya hari ini berkata, dalam perjumpaan tertutup dengan ketua bahagian Umno yang berlangsung hampir dua jam petang ini, Zahid menjelaskan keputusan dibuat MKT semalam.

Beliau berkata, semua pimpinan sepakat untuk meneruskan usaha membela Najib.

“Semua (yang hadir) tadi turut menjunjung keputusan Agong dan ini tak boleh dipertikaikan sesiapa,” katanya.

“Kita harap jangan ada suara-suara sumbang di luar sana yang mempertikaikan apa yang telah diputuskan Agong.”


Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo