NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu ringgit, beras, kos sara hidup dijangka jadi tumpuan sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Isu ekonomi, terutama berkaitan kejatuhan nilai ringgit dan kos sara hidup rakyat dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat, bermula minggu ini.

Masalah bekalan makanan, terutama beras yang menjadi perhatian ketika ini juga dijangka dibangkitkan Ahli Parlimen, susulan isu bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) yang terhad di pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin turut memberi penekanan kepada isu beras dan mahu penguatkuasaan dipertingkat bagi menjamin keberadaan beras dalam pasaran dan memastikan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan.

Seperti persidangan sebelum ini, Ahli Parlimen juga dijangka menyentuh isu penderitaan rakyat Palestin, termasuk pendirian kerajaan susulan perkembangan di wilayah itu yang semakin buruk, akibat kekejaman tentera Israel.

Isu lain yang dijangka mendapat perhatian, termasuk berkaitan rasuah dan cuaca panas serta fenomena El Nino ketika ini.

Bagi pembangkang, Ahli Parlimen BERSATU dan PAS akan terus membangkitkan isu kos sara hidup rakyat dan ekonomi negara, dan mahu mengetahui perancangan kerajaan bagi mengatasi masalah itu.

 Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. – FOTO : NSTP

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata dalam keadaan ringgit yang lemah, tindakan segera perlu dilakukan, terutama bagi mengatasi kos barang keperluan yang semakin meningkat.

“Kos sara hidup, harga barang meningkat, ekonomi negara dan bekalan makanan.

“Kita nak tahu apa perancangan, strategi dan fokus kerajaan kali ni, begitu juga dengan sektor perkhidmatan,” katanya hari ini.

Mas Ermieyati yang juga Naib Ketua Srikandi BERSATU, berkata pembangkang melihat kerajaan hari ini, yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersungguh-sungguh dalam menangani masalah rakyat.

“Banyak perkara yang harus mereka berikan perhatian dan tindakan harus dibuat segera.

“Barisan Kabinet yg kompeten diperlukan. Tukar saja mereka yang tidak kompeten dan tidak bersungguh-bersungguh dalam perihal kementerian mereka kerana rakyat perlu diutamakan.

“Barisan Kabinet perlu kurangkan berpolitik, buat kerja, kurangkan bercakap,” katanya.

Sumber asal | Buletin TV3

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo