KOTA TINGGI: Tiga masjid utama bawah kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mula digerakkan dalam usaha kerajaan menyokong kempen #GengSubuhMacamJumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, kempen itu akan diteruskan pada peringkat persekutuan, bertitik tolak daripada kejayaan kempen yang dimulakan selebriti Alif Satar, ditambah pula dengan kejayaan Program Semarak Subuh oleh kerajaan Johor.
Tiga masjid yang terlibat ialah Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.
Mohd Na’im berkata, perancangan sedang dibuat bersama agensi berkaitan serta Alif dengan program pertama dijangka diadakan pada Sabtu depan.
“Kita akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang berbuat kebaikan, sebab itu saya harapkan golongan belia macam Alif Satar dengan statusnya sebagai selebriti, membawa anak-anak muda ini (ke arah kebaikan),” katanya kepada pemberita.
Mohd Na’im berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kejayaan menghimpunkan lebih 12,000 jemaah pada Program Semarak Subuh dan kempen #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru semalam akan diteruskan pada peringkat persekutuan.
Program Semarak Subuh, inisiatif Onn Hafiz, mula dilaksanakan pada 5 Jan lepas di 56 kawasan DUN di Johor, membabitkan 838 masjid dan 1,942 surau.
Sementara itu, kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dimulakan Alif sejak Disember tahun lepas juga mula menjadi ikutan ramai dan turut digerakkan pempengaruh lain di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im yang berada di negeri ini untuk misi pascabanjir selama dua hari berkata, lebih RM1.5 juta sumbangan dan bantuan pelbagai bentuk daripada enam agensi bawahnya telah disampaikan.
Ini termasuk bantuan dari segi baik pulih rumah, barang keperluan peralatan pembersihan, kit solat, bank makanan serta pakaian terpakai, katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment