Aktivis politik, Shahir Adnan berkata, terdapat rungutan daripada ibu bapa bahawa berlaku kenaikan harga makanan di kantin sekolah setelah sesi persekolahan dibuka semula minggu lepas.
Katanya, berdasarkan aduan ia bermakna harga jualan makanan naik antara 25 hingga 50 peratus dalam masa beberapa bulan sahaja.
“Berdasarkan tinjauan di sekitar sekolah-sekolah di Lembah Klang, sebelum ini ayam goreng hanya RM2 seketul, namun kini ada kantin yang menjual hingga RM3 seketul.
“Harga nasi lemak juga naik, walaupun kuantiti nasi, sambal dan ikan bilis masih sama. Kalau dahulu RM1.50, sekarang sudah RM2.00.
“Pihak pengusaha kantin pula memberikan alasan harga dinaikkan kerana faktor harga barangan mentah meningkat dan tiada subsidi kerajaan, terutama melibatkan bayaran elektrik.
“Berdasarkan tinjauan, rata-rata menyatakan bahawa mereka membayar tarif elektrik komersial yang dinaikkan tarif tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Shahir berkata, Kerajaan Madani, terutama Kementerian Pendidikan perlu cakna terhadap isu tender kantin dan mengambil tindakan apabila aduan dibuat.
“Kementerian Tenaga perlu memperhalusi isu tarif elektrik untuk kantin sekolah dan pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga perlu mengambil tindakan tuntas untuk menurunkan harga makanan mentah seperti ayam, telur dan beras.
“Memang benar, pengusaha kantin perlu menurunkan harga makanan kepada harga yang mampu termasuk pelajar keluarga B40,” katanya.
Selain itu katanya, pengusaha kantin sekolah membeli barang mentah di pasar yang sama dengan pengusaha restoran.
“Sekiranya harga tetap mahu diturunkan, bimbang kualiti makanan pula akan terjejas. Oleh itu, mekanisma yang dinyatakan perlu diambil tindakan secepat mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2024
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment