KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) berhubung isu genosid tidak menampakkan usaha untuk menghentikan peperangan di Gaza sebaliknya hanya mengakui bahawa Israel cenderung melakukan perkara itu.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya melihat perkara berkenaan kerana keputusan itu tidak menyebut sepatah pun mengenai gencatan senjata.
Katanya, keganasan Israel terbukti jelas dan mereka sememangnya bersalah dkerana telah melakukan jenayah genosid yang mengorbankan ribuan rakyat awam di Gaza.
“ICJ telah mendengar bukti Afrika Selatan yang tidak dapat disangkal oleh Israel. Apa yang dihujahkan oleh Israel hanya mencabar jurisdiksi ICJ dan mengulangi hak mempertahankan diri.
“ICJ telah mengarahkan Israel tidak menghilangkan bukti-bukti genosid di Gaza. Ini bermakna ICJ menerima fakta ada perlanggaran Konvensyen Genosid.
“Malah ICJ telah mengarahkan Israel menghukum mereka yang mengistiharkan niat genosid yang dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi Israel. Apakah ini akan dipatuhi oleh Israel?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, apa yang berlaku telah menyebabkan penduduk Gaza memberikan reaksi kecewa malah Tebing Barat juga telah menyuarakan mengenai keputusan ICJ itu.
Tambah beliau, apa yang diharapkan oleh penduduk Palestin adalah mereka mahukan gencatan senjata itu dibuat serta-merta.
“Kami berpendirian sementara ICJ telah membuat keputusan yang dianggap menyebelahi tuntutan Afrika Selatan, namun, ICJ tidak menangani isu pokok, bahawa serangan Israel yang terus berlaku tidak dihalang dan Israel tidak dipertanggungjawabkan terhadap jenayah perang dan jenayah genosid yang jelas dilakukan terang-terangan.
“ICJ telah mengarah Israel melapor kembali dalam tempuh satu bulan kepada ICJ mengenai langkah Israel…padahal serangan terus dilancarkan sudah lebih dari 100 hari tanpa henti dan membunuh hampir 150 hingga 200 warga Gaza sehari.
“Ada juga yang mati kerana tidak menerima rawatan, kebuluran dan kerana penyakit yang mulai merebak. Soalnya kenapa harus tunggu sebulan lagi?” ujarnya.
Katanya lagi, MAPIM mengusulkan kerajaan Malaysia melakukan pencelahan dalam pembicaraan kes tuntutan Afrika Selatan itu agar keputusan yang lebih adil dan mengukuhkan hujah gencatan senjata perlu dilakukan segera.
Beliau menjelaskan, reaksi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terhadap keputusan ICJ jelas menunjuk sikapnya bahawa dia tidak akan peduli dengan arahan ICJ.
Dia telah mengisytiharkan akan meneruskan malah meningkatkan operasi militari di Gaza.
“Oleh itu, apa jaminan warga Gaza akan selamat walaupun keputusan ICJ mengarahkan langkah mengelak genosid.
“Yang jelas ialah Israel telah melakukan perlanggaran Konvensyen Genocide dan jenayah perang dengan sokongan penuh serta bantuan tanpa had Amerika Syarikat (AS).
“Persekongkolan AS sangat jelas. Keputusan ICJ sewajarnya mempersoalkan status AS membantu Israel dengan senjata tercanggih untuk membunuh seramai mungkin warga Gaza,” katanya.
Mohd Azmi berkata, AS mesti turut dipertanggungjawabkan terhadap serangan Israel di Gaza kerana keupayaan Israel melancar serangan berskala besar adalah akibat negara kuasa besar itu merestui dan menaja sepenuhnya operasi Israel.
Malah, katanya, semua calon Presiden AS untuk pilihan raya 2024 nanti menyatakan sikap bahawa operasi militari Israel di Gaza perlu diteruskan.
Ada yang menyatakan bukan Israel bergantung kepada AS tetapi hakikatnya negara Uncle Sam itu yang memerlukan Israel.
“Isunya sekarang ialah sementara keputusan ICJ itu adalah mengikat namun ia tidak dapat dikuatkuasakan.
“Apakah jaminan Israel akan menghentikan serangan dan membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar melalui pintu Rafah. Laporan pelarian Gaza malah ditembak ketika cuba mendapat bantuan kemanusiaan di Khan Yanis sudah cukup membuktikan Israel tidak peduli kepada arahan ICJ.
“Kami berpendirian masyarakat dunia tidak terlalu mengharapkan pembelaan ICJ . Bantahan perlu diteruskan dan tekanan kepada Israel hendaklah dipertingkatkan,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment