PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes positif Covid-19 akan melonjak di negara ini pada hujung Disember ini.
Jelas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, unjuran itu disebabkan pelaksanaan musim cuti sekolah yang bermula minggu ini.
“Kita jangkakan bahawa kes akan naik ini adalah salah satu fenomena global di mana kes Covid-19 adalah dalam suasana yang mana semua negara ada kenaikan kes.
“Kita jangkakan dia akan naik, pun begitu kita akan terus memantau supaya situasi itu terkawal, dalam apa-apa yang kita belajar sebelum ini di mana berlaku lonjakan kes selalunya ia akan berakhir dalam empat hingga enam minggu,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di sini hari ini.
Dr Muhammad Radzi berkata, KKM berharap dengan langkah-langkah kawalan yang telah dan akan dilaksanakan kelak dapat mengawal penularan kes positif seperti yang berlaku sebelum ini.
“Jadi kita harap langkah kita buat dapat kawal dan seterusnya jadi kurangkan kes,” katanya lagi.
Ditanya mengenai bekalan vaksin Covid-19 yang ada di pihak KKM, Dr Muhammad Radzi berkata, jumlah stok vaksin mencukupi bagi dos penggalak dan juga vaksin pandemik itu sendiri.
“Buat masa ini, kita masih ada stok vaksin, jumlah itu cukup terutamanya untuk mereka yang mempunyai risiko dan berkomorbiliti buat masa sekarang.
“Bagi stok vaksin Pfizer, kita masih lagi dalam proses pembelian kerana vaksin ini baharu terutama sekali versi baharu, monovalent dan proses itu akan mengambil masa kerana bekalan agak susah,” katanya lagi.
Terdahulu dalam sidang media sama, Dr Dzulkefly berkata, kes baharu positif Covid-19 bagi Minggu Epidemiologi (ME) 50 didapati meningkat 62 peratus daripada minggu ME 49.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, daripada jumlah itu 97 peratus adalah daripada kategori satu dan dua.
Untuk rekod, kes baharu bagi Minggu Epidemiologi pada 10 hingga 16 Disember adalah 20,696 kes iaitu peningkatan sebanyak 62.2 peratus. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment