Lokasi itu turut didatangi Abu Bakar al Siddiq, Umar Khattab, Abu Ubaidah Amir Jarah, pemimpin kaum Ansar dan Muhajirin.
Sedangkan para Sahabat RA yang mengurus pengkebumian Rasulullah SAW hanya sekitar 10 orang sahaja.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kehadiran sebahagian besar pemimpin masyarakat Islam Madinah ke Saqifah bani Sa’idah membuktikan pelantikan khalifah begitu penting.
“Mereka berkumpul bagi membincang pelantikan khalifah sebagai pengganti kepada Rasulullah SAW sehingga dipersetujui Abu Bakar dilantik sebagai pengganti,” katanya pada Bicara Murabi Ummah di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
Program yang dihadiri lautan manusia menampilkan Ikon Dakwah Anak Muda Ustaz Azhar Idrus dan Daie Nusantara Prof Dr Abdul Somad.
Ia diadakan sempena sambutan ulangtahun ke-33 pentadbiran Membangun Bersama Islam (MNB) selepas menguasai Kelantan pada 21 Oktober 1990.
Mohd Nassuruddin berkata, apa yang berlaku ketika pelantikan Saiyidina Abu Bakar sebagai khalifah menggambarkan politik penting dalam Islam bagi melantik pemimpin.
Sementara itu Ustaz Azhar dan Dr Abdul Somad begitu kagum dengan kehadiran puluhan ribu rakyat Kelantan pada program tersebut yang menggambarkan mereka begitu cintakan ilmu agama.
Kata Ustaz Azhar biarpun Kelantan dilanda banjir di banyak tempat, namun masih ramai yang sanggup datang pada program tersebut.
“Begitu juga kuliah bulanan saya di Kelantan tidak pernah kurang orang, ia menggambarkan rakyat negeri ini begitu cintakan ilmu agama.
“Sehingga sekarang sudah tahun kelapan kuliah bulanan saya di Kelantan, yang tidak pernah tiada orang datang,” ujarnya.
Dr Abdul Somad pula berterus terang ketika peringkat awal penglibatan dalam dakwah kehadirannya ke Kelantan pada 2017 mendapat sambutan luar jangka sehingga memenuhi stadium.
Sedangkan ketika itu beliau kurang diterima untuk menyampaikan dakwah di tempat-tempat lain.
“Saya juga diberi gelaran Daie Nusantara oleh kerajaan Kelantan sehingga selepas itu aktiviti dakwah semakin meluas.
“Maka tidak hairanlah Kelantan dikenali sebagai Universiti Politik Terbuka dengan ilmu yang ada pada ulama dan umarak,” katanya.
Menurutnya juga daripada ilmu ulama akan melahirkan pemimpin yang adil bagi mengurus tadbir negeri atau negara.
Kata beliau ulama menjadi ikutan pemimpin politik kerana mereka merupakan golongan yang takut kepada Allah Taala. – HARAKAHDAILY 29/12/2023
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment