Subsidi ayam dihentikan kerajaan campuran. |
Keputusan kerajaan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa Rabu ini, dijangka merancakkan sektor penternakan ayam pedaging dan menarik pelaburan asing ke dalam sektor berkenaan.
Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Datuk Jeffrey Ng berkata, situasi itu juga secara tidak langsung akan mengukuhkan rantaian bekalan ayam pedaging dan menyumbang secara positif kepada keselamatan makanan negara, lapor Bernama.
“Pengapungan harga ayam ini akan memberikan impak positif kepada industri termasuk dari segi menarik pelaburan ke dalam industri ini. Jika dulu dengan kawalan harga, mengakibatkan keuntungan kurang.
“(Jadi) Apabila ramai yang melabur, maknanya bekalan (ayam) akan jadi cukup,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan ayam akan mencukupi terutamanya selepas pengumuman yang dibuat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini.
“FLFAM akan terus menyokong langkah kerajaan untuk memastikan bekalan ayam pedaging dan telur yang mencukupi dengan harga berpatutan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Mohamad ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata bagi subsidi telur gred A, B dan C, kerajaan bersetuju untuk ia diteruskan mengikut mekanisme sedia ada.
Beliau berkata penamatan subsidi ayam adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan.
Sementara itu Pengarah Urusan Mydin Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata pengumuman tersebut merupakan cabaran kepada pemain industri supaya tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ayam selepas kerajaan merealisasikan permintaan mereka.
“Saya rasa industri mesti respons dan memberikan keyakinan kepada kerajaan untuk kita seberapa yang boleh ikut harga pasaran. Saya yakin industri will behave dan kerajaan tak perlu lagi meletakkan kawalan harga,” katanya.
Dan bagi menunjukkan penghargaan serta sokongan kepada usaha kerajaan MADANI, beliau berkata rangkaian pasar raya Mydin akan menjual ayam dengan harga RM7.99 sekilogram pada 1 Nov nanti.
“Mydin berharap pemain industri yang lain akan ikut dan akan menjual pada harga sama atau lebih murah daripada Mydin,” katanya sambil tidak menolak kemungkinan harga tersebut akan kekal selama seminggu bergantung kepada harga semasa ayam di pasaran.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment