NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

“Rombakan kabinet mungkin dalam masa terdekat”, kata Zahid



Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan rombakan Kabinet bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkemungkinan akan berlaku dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara sebabnya ialah berlaku kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian penyandang, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, menurut laporan Bernama.

“Mesti ada (rombakan Kabinet). Saya fikir dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Putrajaya, di sini, hari ini.

Ditanya desas-desus bakal dilantik mengetuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika berlaku rombakan itu pula, Zahid berkata, beliau bersedia menerima apa jua tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Saya pun melihat poster begitu tetapi Perdana Menteri belum beritahu saya. Sebenarnya, pergi kementerian mana pun saya bersedia sebab yang penting ialah Kabinet membuat keputusan secara konsensus.

“Saya memegang Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah tetapi pada masa sama, Perdana Menteri meletak saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kabinet, jawatankuasa peringkat tinggi serta pasukan petugas yang membabitkan pelbagai kementerian. Saya melakukan perkara itu demi kepentingan Kerajaan Perpaduan yang ada,” katanya.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pernah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2018 bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau membuat keputusan untuk menjelajah ke semua 191 bahagian UMNO seluruh negara bagi mengupas isu berkaitan parti, termasuk yang membabitkan perundangan dan politik.

“Ini penting… biar mereka (ahli UMNO) datang serta mendengar sendiri penjelasan daripada saya dan pasukan mengenai aspek politik, perundangan serta beberapa isu lain.

“Komunikasi melalui pendekatan tanpa lisan sangat penting… lebih penting jika ada sentuhan peribadi menerusi komunikasi lisan melalui pemimpin utama organisasi,” katanya.

Malah, katanya, beliau komited untuk bertemu ahli parti di setiap bahagian melalui pendekatan konservatif itu walaupun terpaksa mengambil masa yang lama.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo