Presiden Amanah itu berkata, PH-BN tidak pernah ‘bercinta’ namun secara tiba-tiba dijodohkan oleh Raja-Raja Melayu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan.
“Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini dalam pilihan raya umum sejak 1955. Pada 2013, Barisan mempunyai majoriti dan pada 2018 Pakatan pula.
“Tiba-tiba Pakatan dan Barisan yang tidak pernah bercinta sebelum ini diberi persetujuan untuk berkahwin oleh orang tua kita… dalam kes ini, oleh Raja-Raja Melayu.
“Ya, kami sudah lama berkenalan, tetapi dalam beberapa perkahwinan, walaupun lahir atas dasar cinta dengan majlis perkahwinan mewah mencecah ribuan ringgit, itu juga berakhir selepas dua tahun.
“Kami berdoa agar perkahwinan kami berkekalan, insya-Allah,” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu dalam ceramahnya di Taman Dahlia.
Metaforanya mengundang gelak tawa orang ramai, yang sebelumnya turut mendengar ucapan calon PH Pulai Suhaizan Kayat dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, ‘perkahwinan’ PH-BN diterima dan direstui apabila ia membawa kemenangan kepada mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tioman pada Disember tahun lepas.
Beliau berkata, formula serupa boleh menghasilkan kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram di Johor menjelang hari pengundian pada 9 September ini.
“Kami berharap Johor, seperti Melaka, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, dapat terus membangun dan berkembang maju tanpa membiarkan unsur pelampau dan perpecahan memasuki negeri ini,” katanya.
PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan berikutan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang memegang dua kerusi itu.
Tempoh berkempen untuk PRK ini akan berakhir pada 11.59 malam pada Jumaat (8 September).
No comments
Post a Comment