Setelah beberapa lama DAP membisu, akhirnya mereka mengaku tidak sekali-kali meninggalkan agenda perjuangan mereka Malaysian Malaysia dan Malaysia Sekular. Dalam kenyataan terbaru Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebagai respons kepada gesaan Ahli MKT UMNO, Nur Jazlan Mohamed, menyebut DAP tidak akan mengugurkan agenda Malaysian Malaysia dan Malaysia Sekular sebagai perjuangan mereka. Jelas sekali, DAP tetap konsisten dengan agenda asal perjuangan mereka.
Lebih mengejutkan, Anthony menyatakan bahawa mereka sudah menjelaskan kepada Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang agenda perjuangan mereka, dan Zahid dilaporkan berpuas hati. Beliau menyebut penjelasan tentang perkara itu telah diberikan ketika perbincangan awal bagi membentuk kerajaan campuran PH-BN, yang turut melibatkan pemimpin-pemimpin parti komponen kerajaan yang lain. Beliau juga mendakwa agenda mereka tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Saya telah berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin DAP sejak dari tahun 1998 ketika tercetusnya Gerakan Reformasi, dan semenjak itu saya tetap yakin agenda Malaysian Malaysia dan Malaysia Sekular yang diperjuangkan oleh DAP sejak ditubuhkan tidak mempunyai pelbagai versi. Tidak ada versi Malaysian Malaysia 1.0 dan Malaysian Malaysia 2.0, atau Malaysia Sekular 1.0 dan Malaysia Sekular 2.0. Agenda perjuangan DAP sejak awal penubuhannya, itu jugalah versi yang diperjuangkan sekarang.
Agenda Malaysian Malaysia yang diwarisi dari parti induknya, PAP, yang berasal dari Singapura, tiada dua atau tiganya. Malaysian Malaysia yang diperjuangkan itulah yang melatari ketegangan antara UMNO dan PAP sehingga menjadi antara punca tercetusnya rusuhan kaum di Singapura pada tahun 1964, seterusnya membawa kepada pemisahan Singapura daripada Malaysia. Agenda itu jugalah yang melatari ketegangan kaum sehingga menjadi antara punca kepada Tragedi 13 Mei 1969.
Selepas Tragedi 13 Mei 1969, DAP terus menyalakan obor perjuangan Malaysian Malaysia mereka, dan mereka menjadi parti terasing yang tidak menyertai Kerajaan Perpaduan selepas PRU tahun 1974. Disebabkan DAP terus memperjuangkan Malaysian Malaysia, tiada parti-parti Melayu yang mahu berkawan dengan DAP sehinggalah pada tahun 1990. Pada tahun tersebut, DAP berkawan dengan Parti Melayu Semangat 46, secara tidak langsung ada hubungan pihak ketiga dengan PAS.
Bagaimanapun, sepanjang gabungan DAP dan Semangat 46, mereka sering berkonflik kerana agenda perjuangan kedua-dua parti 'umpama langit dan bumi'. Semangat 46 sebuah parti yang terang-terangan menolak agenda Malaysian Malaysia. Maka, apabila timbul isu-isu seumpama krisis perlembagaan untuk mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu pada tahun 1993, Semangat 46 dan DAP mengambil jalan bertentangan. Akhirnya hubungan Semangat 46 dan DAP berpisah tahun 1995.
Kemudian pada tahun 1998, semasa era Gerakan Reformasi, PAS dan DAP pula menjalin kerjasama. Berbanding dengan UMNO dan Semangat 46, PAS bertentangan dengan DAP bukan sahaja pada agenda Malaysian Malaysia, tetapi juga pada agenda DAP yang mahukan sebuah Malaysia yang sekular. Sekularisme merupakan satu ideologi yang bertentangan dengan Islam yang diperjuangkan oleh PAS, malah sebenarnya Sekularisme juga bertentangan dengan agama-agama lain.
Sepanjang tempoh 1998 hingga 2015, hubungan antara PAS dan DAP lebih banyak panas daripada sejuk. Pada tahun 2001, DAP mendesak PAS menggugurkan agenda Negara Islam. Ustaz Fadzil Noor pada ketika dengan tegas menolak desakan DAP, dan akhirnya DAP keluar dari BA. Pada tahun 2011, DAP mendesak pula PAS mengugurkan usaha melaksanakan Syariah di Kelantan. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan tegas menempelak DAP. Akhirnya, hubungan PAS dan DAP putus pada tahun 2015.
Kemudian pada tahun 2016, BERSATU dan Dr Mahathir Mohamad pula cuba menjalinkan kerjasama dengan DAP. Seterusnya jalinan kerjasama tersebut dirasmikan di dalam PH, yang kemudiannya menjadi parti gabungan untuk mengadapi PRU tahun 2018. Kali ini, parti gabungan PH berjaya membentuk kerajaan dan DAP buat pertama kalinya berada dalam kerajaan. Ketika di dalam kerajaan, DAP berusaha merealisasikan agenda Malaysian Malaysia dan Malaysia Sekular mereka.
Kali ini, giliran BERSATU dan Dr Mahathir pula tertipu dengan mulut manis DAP. Naratif yang sama disebut oleh DAP, mereka tetap mempertahankan empat tonggak Perlembagaan Persekutuan, sedangkan hakikat sebenarnya agenda Malaysian Malaysia dan Malaysia Sekular cukup bertentangan dengan tonggak- tonggak tersebut. Akhirnya pada tahun 2020, BERSATU dan Dr Mahathir pula membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP.
Ketika UMNO atau lebih khusus lagi Zahid Hamidi menghulur tangan kepada DAP untuk berkawan bagi membentuk kerajaan campuran PH-BN, saya tertanya adakah DAP telah menggugurkan agenda perjuangan mereka sehingga UMNO boleh berlapang dada. Kini, jawapannya telah muncul, DAP tidak akan mengugurkan agenda perjuangan Malaysian Malaysia dan Malaysia Sekular mereka. Secara tidak langsung memberi maksud, UMNO sudah boleh kompromi dengan agenda perjuangan DAP.
Sumner : FB Dr Zuhdi
No comments
Post a Comment