KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertindak keluar daripada blok kerajaan bagi menjadi pembangkang kuasa ketiga menyebabkan Kerajaan Perpaduan tidak dapat mengekalkan majoriti dua pertiga.
Pakar perundangan dan perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Nik Mahmood, berkata apabila kerajaan hilang sokongan majoriti dua pertiga itu, maka ini menjadi satu halangan besar untuk kerajaan meminda mana-mana perlembagaan negara pada masa yang diperlukan.
Katanya, tindakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu dilihat sebagai rancangan strategi tertentu bagi mendapatkan sokongan daripada Kerajaan Perpaduan yang dilihat tidak mengendahkan beberapa permintaan parti itu.
"Apabila Syed Saddiq kini menyokong pembangkang, ia satu strategi mengugut atau 'arm twisting' supaya Pakatan Harapan (PH) menerima MUDA atau pun memberi lebih banyak konsesi diberikan dalam Kerajaan Perpaduan kepada parti itu," katanya kepada BH.
Beliau mengulas tindakan Syed Saddiq yang secara rasmi semalam mengumumkan keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga.
Syed Saddiq menjelaskan tindakan itu sebagai protes terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan berkait kes Yayasan Akalbudi yang MUDA anggap sebagai permulaan menormalisasikan rasuah.
Ketika ini, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk melalui kerjasama 14 parti politik mempunyai 147 ahli Parlimen daripada 222 kerusi Parlimen, iaitu kurang satu kerusi untuk menjadi kuasa majoriti dua pertiga (148 kertusi).
Dengan keputusan itu, menjadikan jumlah pembangkang adalah 74 termasuk satu kerusi melalui Syed Saddiq.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, MUDA bertanding menggunakan logo sendiri di empat kerusi iaitu Parlimen Muar, Parlimen Kepala Batas, Tanjong Karang, Tanjung Piai dan Kota Marudu, namun menang satu kerusi di Parlimen Muar.
Nik Ahmad Kamal juga tidak menolak kemungkinan, penarikan sokongan Syed Saddiq itu sememangnya kerana parti MUDA benar-benar mahu Kerajaan Perpaduan mengkaji dengan mendalam keputusan dan dasar semasa berkaitan dengan kes yang sedang dihadapi pemimpin kerajaan pada masa ini.
No comments
Post a Comment