Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

MARANG: PAS menamatkan 'badi' kerajaan sepenggal apabila terus memerintah kerajaan negeri untuk penggal kedua berturut-turut selepas memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, PAS bersama rakan gabungannya, BERSATU berjaya mengekalkan pentadbiran negeri apabila terus diberi mandat daripada pengundi.

Ahmad Samsuri memperoleh 20,926 undi sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman yang hanya mendapat 3,621 undi dengan majoriti 17,295 undi.

Turut menjadi tumpuan adalah kerusi DUN Kijal yang ditandingi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said sejak 1990 yang juga bekas Menteri Besar Terengganu.

Ahmad bertanding di kerusi DUN Kijal selama sembilan penggal tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Idris daripada BERSATU.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu mencipta kejutan apabila memperoleh 13,403 undi menewaskan Ahmad (9,645 undi) dengan majoriti 3,758 undi.

DUN Seberang Takir yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) berjaya dirobohkan PN menerusi Khazan Che Mat yang juga bekas ADUN Batu Rakit.

Khazan memperoleh 12,156 undi menewaskan Ahmad Razif yang menjadi ADUN di kerusi berkenaan sejak 2008 dengan undi sebanyak 9,359 undi.

Calon PN di DUN Ladang, Zuraida Md Noor yang menjadi satu-satunya calon wanita mewakili PN menang menewaskan calon BN, Datuk Mohd Sabri Alwi dengan majoriti 4,373 undi.

Zuraida menang bergaya apabila menerima 11,663 undi manakala Mohd Sabri hanya memperoleh 7,290 undi.

PRN kali ini turut menyaksikan pertembungan tiga penjuru di DUN Bandar dan Hulu Besut.

Di DUN Bandar, penyandangnya, Ahmad Shah Mohamed (PAS) yang dicabar calon BN, Armi Irzan Mohd dan calon MUDA, Luqman Long mengekalkan kemenangannya buat penggal kedua selepas memperoleh majoriti 2,384 undi.

Ahmad Shah mendapat 8,438 undi manakala Armi Irzan dan Luqman masing-masing memperoleh 6,054 undi dan 372 undi.

Sementara di DUN Hulu Besut, bekas Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad tewas selepas hanya memperoleh 6,665 undi.

Kerusi DUN Hulu Besut menjadi milik PN menerusi calonnya, Mohd Husaimi Hussin yang memperoleh 9,525 undi dengan majoriti 2,860 undi.

Sementara itu, calon BEBAS, Dr Che Harun Kamariah pula hanya mendapat 182 undi

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri apabila menguasai 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala 10 lagi dimenangi Barisan Nasional (BN).

Kerusi dimenangi BN adalah Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

Untuk rekod, PAS hanya menang sepenggal sahaja iaitu pada 1959 hingga 1961 dan 40 tahun selepas itu, PAS menang semula pada 1999 hingga 2004 sebelum tewas dan menang semula pilihan raya pada 2018.