KUALA LUMPUR – Seperti yang dijangka, fenomena Barkoba ternyata membawa tuah buat aktor senior tanah air, Bell Ngasri apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) yang berlangsung di Istana Budaya, malam ini.
Bell atau nama sebenar Nasrizal Ngasri memenangi hadiah utama berupa trofi piuter dan pakej umrah.
Aktor berusia 43 tahun itu turut membawa pulang trofi Artis Komedi Popular.
Bell dalam ucapannya menyifatkan kemenangan gelaran bintang paling popular sebagai hadiah untuk ibu tercinta, Habibah Jaafar yang bersungguh-sungguh membawa dirinya dan adik-beradik ke arena seni sejak berusia enam tahun.
“Saya bersyukur kepada Allah . Kalau nak tahu saya pernah cakap saya tak perlukan populariti sebab sepanjang 37 tahun, watak saya hanya di belakang hero.
“Kalau berada dalam acara besar, saya cuma duduk di celah program sewaktu iklan. Tapi hari ini jadi bukti orang tetap sayang saya.
“Saya nak ucap terima kasih kepada kepada mama. Dari saya umur enam tahun, adik saya tiga tahun, kami naik bas mini. Saya hisap susu lagi, lepas tu berlakon pula,” luah Bell sebak dalam ucapan kemenangannya.
Pada masa sama, Aktor Pembantu Terbaik, Anugerah Skrin 1988 menerusi drama Pa’e turut mendedikasikan penghargaan dan terima kasih kepada Allahyarham Mamat Khalid yang mencipta watak Barkoba buat dirinya.
“Tak lupa juga kepada watak Barkoba yang disukai dan dicipta Mamat Khalid untuk saya,” tambah anak pasangan penyiar dan pelakon, Ngasri Sain serta Habibah Jaafar itu.
Sementara itu, ABP35 turut menjulang pelakon baharu, Meerqeen meraih trofi Aktor Drama serta Couple TV popular bersama Anna Jobling.
Pasangannya dalam drama Melur Untuk Firdaus, Anna turut mengungguli dua trofi iaitu kategori Aktres TV Popular dan BBNU Popular.
Kategori Aktor Filem dan Aktres Filem Popular pula berpihak kepada Beto Kusyairi serta Sophia AlBarakbah.
Kategori rebutan lain, trofi Penyanyi Lelaki dan Penyanyi Wanita Popular menjadi milik calon kegemaran ramai, Khai Bahar serta Aina Abdul.
Majlis pengiktirafan tahunan yang menyaksikan 12 kategori utama dan tujuh kategori sampingan dipertandingkan tersebut turut menyaksikan Dolla membawa pulang kemenangan untuk Artis Kolaborasi Duo Berkumpulan.
Sementara itu, kategori Pengacara Popular diungguli Elly Mazlein, manakala trofi Penyampai Radio yang sebelum in dipegang DJ Lin dirampas rakan sebumbung di Suria FM, Tyzo.
Dalam pada itu, Anugerah Khas Ekspresi Legasi Seni diberikan kepada Tan Sri Michelle Yeoh yang banyak berjasa kepada industri seni tanah air.
Satu lagi kategori khas adalah Anugerah Ekplorasi Seni diserahkan kepada penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yunalis Zarai. Trofi diambil ibunya,
Datin Indera Anum Wahab.
ABP35 yang bertemakan Ekspresi Legasi Seni disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Panggung Sari, Istana Budaya bermula pukul 9 malam. – KOSMO! ONLINE
No comments
Post a Comment