NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

J-KOM patut jadi suara rakyat, bukan alat propaganda



KUALA LUMPUR – Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sepatutnya menjadi suara rakyat kepada perdana menteri dan bukan sebaliknya.

Malah, jabatan itu perlu mendengar suara hati dan keluh kesah rakyat di bawah agar perdana menteri mendapat maklumat tepat berhubung situasi ekonomi sebenar yang dialami terutama terhadap golongan B40 dan M40, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan.

Beliau menasihatkan agar jabatan itu tidak menjadi ‘alat’ propaganda hingga menyebabkan orang ramai meluat dengan permainan politik yang tidak henti-henti.

“Terbaru, J-KOM menarik balik poster belanja bulanan yang dikeluarkan berkaitan isi rumah bersama dua anak yang mampu menanggung kehidupan pada kadar RM391 sebulan.

“Infografik tersebut jelas tidak masuk akal, seolah-olah mahu menjustifikasi bahawa harga barangan tertentu berkurang di bawah Kerajaan Perpaduan Madani,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, memandangkan ketua pengarah jabatan itu merupakan seorang ahli akademik, beliau seharusnyamenggunakan fakta yang betul dan tidak terikut-ikut dengan rentak orang politik yang menjanjikan bulan dan bintang.

Ujarnya, semua pihak harus menerima hakikat bahawa harga barangan kini meningkat dengan contoh paling mudah ialah apabila berlaku kejatuhan nilai ringgit, semua harga barangan import akan naik secara automatik.

Tambah beliau, Malaysia bakal berdepan dengan banyak masalah sekiranya nilai ringgit terus merudum.

“Kerajaan perlu memberikan penyelesaian terbaik untuk semua tanpa terikut-ikut rentak populis untuk memancing undi.

“J-KOM perlu menjadi telinga rakyat dan menyampaikan isu-isu ekonomi rakyat, terus kepada perdana menteri. Penyelesaian ekonomi harus dimulakan sekarang agar kita tidak terlambat,” katanya. – MalaysiaGazette




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo