Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, jika mahu memastikan gabungan perpaduan mencapai kemenangan pada PRN, sebarang halangan perlu diketepikan. |
GEORGE TOWN: Ahli dan penyokong MCA dan MIC di Pulau Pinang diharap dapat terus menyokong calon gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada PRN bulan depan.
Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, sokongan itu penting bagi membolehkan gabungan parti kerajaan perpaduan terus kekal mentadbir negeri, walaupun MCA dan MIC mengumumkan tidak bertanding pada PRN nanti.
“Saya percaya keputusan yang dibuat oleh MCA dan MIC itu dilakukan selepas meneliti dan mengkaji keadaan politik terkini khususnya pencapaian mereka dalam pilihan raya sebelum ini.
“Kita memang memahami keadaan ini bukan dalam kalangan MCA atau MIC sahaja, Umno sendiri pun ada kerusi untuk dipertandingkan tetapi keputusan untuk bekerjasama di bawah payung perpaduan ini perlu dihayati dan diterima oleh semua ahli dalam gabungan berkenaan.
“(Kalau) kita mahu gabungan perpaduan ini mencapai kemenangan (pada PRN) ,apa-apa yang menjadi halangan perlu diketepikan,” katanya mengulas mengenai pengumuman kedua-dua parti komponen BN itu semalam.
Chow berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis penganugerahan sijil Malaysia Book of Records Galeri Haji Pulau Pinang di Lebuh Acheh, yang menerima pengiktirafan sebagai galeri haji pertama di Malaysia.
Semalam, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu yang ditetapkan pada 12 Ogos bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi PRU16.
Chow yang juga ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, walaupun MCA dan MIC tidak bertanding pada PRN, pimpinan parti itu telah menyuarakan kesungguhan mereka untuk sama-sama membantu kempen PH-BN bagi memastikan kemenangan gabungan itu di enam negeri.
“Isu sama ada undi masing-masing boleh dipindah menjadi satu pertimbangan penting semua ahli parti (MCA dan MIC) bagi memastikan kemenangan calon PH-BN,” katanya.
Dalam pada itu, Chow berkata manifesto PH-BN bagi Pulau Pinang untuk menghadapi PRN mungkin diumumkan pada minggu terakhir sebelum hari penamaan calon pada 29 Julai.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment