NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zahid sarapan 2 jam dengan Najib, peguam tuntut KDN, Penjara jelaskan

Zahid mendedahkan beliau bersama Shamsul Anuar bersarapan dengan Najib di Penjara Kajang selama dua jam.


Pendedahan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang memberitahu beliau bersarapan dan meluangkan masa kira-kira dua jam dengan Datuk Seri Najib Razak di Penjara Kajang dipertikai seorang peguam.

Rafique Rashid berkata pendedahan Timbalan Perdana Menteri itu jelas menunjukkan sikap ‘double standard’ oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara terhadap prosedur lawatan dalam kalangan pelawat.

Menurutnya, berdasarkan penerangan diberi Zahid, itu jelas melanggar peraturan dan undang-undang dalam proses lawatan ke penjara.

Katanya, sejak sekian lamanya orang awam termasuk peguam dan ahli keluarga banduan perlu mematuhi syarat serta prosedur lawatan yang ditetapkan oleh penjara termasuk tidak boleh berkomunikasi secara bersemuka dengan banduan sebaliknya bercakap menggunakan telefon dan dihalang oleh cermin kaca bagi mengelakkan sentuhan.

Selain itu, dilarang sama sekali membawa masuk makanan dan minuman dari luar.

“Mengapa lain pula ceritanya bila Zahid melawat Najib?” tanyanya, lapor MalaysiaNow.

Sehubungan itu, Rafique menuntut KDN dan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad menjelaskan perkara itu.

Pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Sabtu lalu,  Zahid mendedahkan beliau melawat Najib bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan membawa pelbagai makanan kegemaran Najib.

Dalam pada itu, Rafique turut mempertikai soal tempoh lawatan Zahid bertemu Najib selama dua jam sedangkan hanya 45 minit secara maksimum ditetapkan untuk setiap pelawat selain kawalan ketat oleh pegawai dan warden penjara.

Tambahnya, segala prosedur dan proses lawatan yang dilalui oleh beliau sebagai peguam masih kekal dan tak pernah berubah.

“Bukankah negara amalkan sistem undang-undang yang sama rata?

“Kasihan juga kepada banduan-banduan yang lain,” katanya.

Najib kini sedang menjalani hukuan penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya termasuk denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo