SAUDARA PENGARANG,
MENJELANG pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi di enam negeri, parti-parti yang akan bertanding sedang sibuk menyenaraikan calon masing-masing.
Dalam pemilihan seseorang calon, pelbagai perkara akan dipertimbangkan. Acap kali kita dengar dan baca, calon boleh menang sering dipilih sebagai pertaruhan.
Bagi saya pula, seseorang calon yang bakal menjadi wakil rakyat perlu ada perwatakan seperti John Wick, iaitu bekas seorang pembunuh upahan yang kemudiannya diangkat menjadi ‘hero’ dalam filem Hollywood dengan tajuk sama.
John Wick tidak banyak bercakap. Dia bercakap bila perlu sahaja dan hanya menuturkan beberapa patah perkataan tetapi ‘kerja jalan’ dengan jayanya dalam masa ditetapkan.
John Wick akan melakukan apa yang dikatakannya. Kesimpulannya, dia cakap serupa bikin. Wakil rakyat pun harus bersifat sedemikian juga.
Jika seseorang wakil rakyat banyak bercakap dan pandai berkata-kata, maka dia harus juga dapat melaksanakan apa yang dijanjikannya dalam masa ditetapkan.
John Wick ialah seorang yang fokus dan komited dalam melaksanakan sebarang tugasan. Dia akan membuat persediaan rapi sebelum melakukan sesuatu kerja.
Kajian akan dibuat dari pelbagai sudut dan kebarangkalian kejayaan serta kegagalan sesuatu misi akan dipertimbangkan dengan teliti.
Sebaik sahaja dia melangkah keluar dari rumah, dalam hati dan pemikirannya cuma ada satu perkataan sahaja, iaitu kejayaan. Baginya, objektif yang ditetapkan mesti dicapai. Wakil rakyat pun perlu fokus dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab.
Sebelum keluar melawat kawasan, misalnya sungai tercemar, wakil rakyat mesti buat kajian dan mendapatkan maklumat lengkap tentang peta kawasan, ciri-ciri sungai tersebut, jenis pencemaran, bahan kimia pencemar, demografi penduduk, tindakan segera, tindakan jangka panjang, kos keseluruhan, perundangan, akta berkaitan dan lain-lain perkara difikirkan perlu.
Jangan terlalu mengharap kepada pembantu. Jangan asyik serah mikrofon kepada orang sebelah sahaja bila disoal oleh pemberita dan lebih teruk jika memberikan jawapan salah.
Pastikan setiap lawatan kerja mencapai objektif dan ada hasilnya. John Wick juga ialah seorang yang tahan lasak. Segala rintangan diharungi dengan gigih. Kecederaan dan kesakitan yang biasa-biasa tidak dihiraukan sangat.
Dia akan menggunakan apa sahaja benda yang ada, waima sebatang pensel sekalipun sekiranya kehabisan peluru atau ketiadaan senjata untuk mencapai objektifnya. Oleh itu, wakil rakyat mesti cekal dan tabah dalam mengharungi sebarang situasi dan permasalahan.
Wakil rakyat tidak harus merengek, merungut, mengadu di media sosial dan duduk diam sahaja jika tidak menerima dana ataupun kekurangan bantuan untuk melaksanakan sesuatu projek atau program. Lakukan improvisasi dan berfikir di luar kotak.
John Wick ialah seorang pembunuh. Adakah saya mencadangkan agar wakil rakyat juga menjadi seorang pembunuh? Jawapannya adalah ya, tetapi bukanlah membunuh manusia mahupun haiwan. Malahan, John Wick sebenarnya adalah pencinta haiwan.
Sebenarnya, wakil rakyat mesti ‘bunuh’ jenayah, rasuah, perlakuan sumbang, hasad dengki, pencemaran, pengedaran dadah, ketirisan, fitnah, dendam, kemiskinan, buta huruf, kegagalan, kemerosotan, ideologi negatif dan pelbagai perlakuan buruk lain.
Masyarakat sering menganggap filem itu sekadar hiburan. Meskipun begitu, terdapat watak dilakonkan yang boleh kita contohi dan dapat memberi pengajaran kepada kita semua. – UTUSAN
MARISSA QT, Kuala Lumpur
No comments
Post a Comment