Selepas membuat pusingan U terhadap keputusan menamatkan subsidi telur dan ayam kelmarin, kerajaan sekali lagi membuat pusingan U apabila menarik balik keputusan menghentikan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu ketika menjawab soalan salah seorang peserta program berhubung keputusan kerajaan menghentikan penajaan tersebut seperti yang disiar media, semalam.
Menurut Anwar, keputusan meneruskan tajaan itu dibuat berdasarkan situasi semasa yang mana masih terdapat keperluan bagi sektor-sektor terbabit dalam negara.
“Sejak minggu lalu saya ada perjumpaan khas dengan JPA dan mereka kata itu (menghentikan tajaan) adalah dasar sedia ada, dasar yang lalu.
“Jadi saya minta dikaji semula berdasarkan unjuran kita yang mana keperluan sektor perubatan, pergigian dan farmasi itu masih ada.
“Maknanya program biasiswa JPA untuk sektor-sektor ini akan diteruskan,” katanya dalam program Temu Anwar@USM di Dewan Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Melalui jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan media pada Sabtu berkata, langkah tersebut diambil ekoran bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.
Hari ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengadakan perbincangan semula bersama JPA berhubung langkah menghentikan tajaan itu.
Jumaat lalu, kerajaan juga menarik balik keputusan tidak meneruskan subsidi ayam dan telur yang diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Dewan Rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam jawapan di Dewan Rakyat pada Rabu berkata bermula 1 Julai depan, tiada lagi subsidi ayam dan telur daripada kerajaan bagi membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun, berbanding harga siling runcit ketika ini.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment