NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muhyiddin gesa Anwar jelaskan perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk membuat penjelasan terbuka berhubung perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia yang telah ditandatangani baru-baru ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan terbuka itu perlu selepas beliau mendakwa Perdana Menteri menandatangani perjanjian itu ketika lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia baru-baru ini meskipun telah dinasihat oleh pakar maritim untuk tidak menandatanganinya.

“Saya minta beliau berikan penjelasan ataupun beri kenyataan dan keterangan kepada rakyat secara terbuka tanpa selindung, apa yang telah termeterai dalam perjanjian itu. Ada laporan memberitahu pakar-pakar maritim telah nasihat Perdana Menteri jangan tandatangan.

“Ya, Indonesia negara sahabat kita tetapi berkaitan kedaulatan negara ini, kita tidak boleh berkompromi walau seinci pun. Saya tidak tuduh, tetapi saya minta Perdana Menteri jelaskan, betulkah begitu, tandatangan sahaja tanpa ambil kira pandangan pakar kita ini,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian sewaktu berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan yang diadakan Senawang di sini, semalam.

Baru-baru ini bersempena lawatan kerja Joko Widodo yang dikenali Jokowi ke negara ini, Anwar bersama pemimpin itu ketika di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya telah menyaksikan pertukaran enam instrumen dua hala yang ditandatangani kedua-dua negara.

Ia antaranya Perjanjian Lintas Sempadan; keselamatan perairan iaitu Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka dan Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, PN mampu membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya pengundi Melayu dapat keluar sepenuhnya pada hari pengundian nanti.

“Kalau kerusi (pengundi) majoriti Melayu iaitu 60, 70 atau 80 peratus, ikut kiraan kasar (PN) sudah menang, tetapi ada sebahagian kerusi di Negeri Sembilan ia tidak sebegitu, ada 50 peratus Melayu dan sebagainya.

“Kerusi-kerusi sebegini sekiranya pengundi Melayu terutamanya keluar beramai-ramai 100 peratus di setiap pusat daerah mengundi yang ada, pengundi Melayu keluar, tuan-tuan akan tengok keputusan macam mana, seronok kita, semua kerusi kita akan sapu bersih dengan mudah untuk bentuk kerajaan di Negeri Sembilan nanti,” katanya.-UTUSAN.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo