NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mansuh wajib bina rumah mampu milik : Kerajaan diminta jangan tunduk

MANSUH WAJIB BINA RUMAH MAMPU MILIK : KERAJAAN JANGAN TUNDUK.

Kerajaan digesa agar tidak tunduk kepada tuntutan agar pemaju tidak lagi diwajibkan membina rumah mampu milik untuk projek-projek berskala besar. Sekarang terdapat kerajaan-kerajaan negeri yang mewajibkan pemaju membina rumah mampu milik untuk projek yang melebihi 10 ekar. Peratus rumah mampu milik yang dibina adalah berbeza-beza menurut negeri di mana ada negeri yang mewajibkan sehingga 30 peratus.

Alasan yang diberikan untuk memansuhkan peraturan ini kerana ia meningkatkan harga jualan rumah-rumah kategori lain tidak boleh diterima. Ada pemaju mendakwa mereka terpaksa menaikkan harga jualan rumah-rumah tersebut untuk menampung kos membina rumah mampu milik. Mereka juga mendakwa ini berlaku kerana kos pembinaan rumah mampu milik adalah lebih tinggi dari harga jualan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Walau bagaimanapun itu bukan konsep "cross subsidy" ( subsidi silang ) yang sepatutnya berlaku untuk program pembinaan rumah mampu milik. Ada pemaju memberi alasan pembeli rumah kategori lain yang menanggung atau memberi subsidi untuk membina rumah mampu milik. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana pemaju yang sepatutnya menanggung sebarang kos tambahan untuk pembinaan rumah mampu milik.

Sekiranya kos pembinaan melebihi harga jualan, kos untuk menampung perbezaan ini sepatutnya ditanggung oleh pemaju daripada keuntungan yang diperolehi. Justeru subsidi datang dari keuntungan pemaju dan bukan dengan menaikkan harga rumah-rumah kategori lain. Jika pembeli terpaksa memberi subsidi kepada pembeli rumah mampu milik, ini bermakna pemaju telah melepaskan diri dari tanggungjawab untuk menyediakan rumah mampu milik.
Kesan memansuhkan peraturan mewajibkan pemaju membina rumah mampu milik akan menyaksikan kawasan strategik di bandar-bandar kita hanya didiami oleh kelompok-kelompok masyarakat tertentu sahaja. Kita tidak akan dapat melihat kumpulan B40 dan mungkin juga M40 di tengah atau pinggir bandar. Mereka akan tercampak di kawasan-kawasan jauh dari bandar di mana harga rumah mampu dimiliki mereka. Sekarang ini telah berlaku dan jika polisi ini dihapuskan keadaan akan menjadi lebih parah. Polisi mewajibkan pemaju membina rumah mampu milik melihat rumah-rumah mampu milik dibina sebelah menyebelah rumah kos lain.

Kita sudah tentu tidak mahu melihat masyarakat kita berkasta-kasta. Setiap kelompok hidup di dalam dunia mereka sendiri tanpa sebarang interaksi kecuali di tempat kerja. Aktiviti-aktiviti lain di dalam kehidupan dijalankan secara berasingan. Tidak akan berlaku  integrasi sosial. Ini tidak baik di dalam usaha kita untuk membina satu negara Malaysia yang bersatu padu. Setiap kelompok masyarakat tidak akan memahami di antara satu sama lain dan kemungkinan berlaku dendam berdendam. Bayangkan bandar-bandar besar tanpa masyarakat berpendapatan rendah atau sederhana rendah.

Polisi perumahan adalah amat penting di dalam menentukan masa depan negara kita. Ia menentukan taburan kaum dan ini amat sensitif di dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia. Kerajaan tidak seharusnya melayan tuntutan mereka yang mahu memansuhkan polisi rumah mampu milik yang sekurang-kurangnya berjaya memastikan taburan golongan kaya dan miskin hampir sekata. Tuntutan tersebut berunsurkan kewangan tetapi kerajaan mempunyai tanggungjawab yang lebih luas. Justeru kerajaan perlu memikirkan kepentingan semua pihak dan memikirkan kesan jangkapanjang.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
11 Jun 2023

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo