Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said. - FOTO BERNAMA
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said. - FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, membentangkan usul membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) buat pertama kalinya di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina berkata, kerajaan memperakui dan memandang serius isu dibangkitkan dalam LKAN, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan menteri berkaitan meneliti perkara dibangkitkan.

Katanya, LKAN juga membangkitkan isu ketakteraturan serius dalam perakaunan, penjagaan wang awam atau simpanan awam serta pengurusan aktiviti kerajaan dan syarikat kerajaan yang memerlukan tindakan berkesan daripada kementerian, jabatan dan agensi diaudit.

"Kita menyedari cabaran dihadapi Ketua Audit Negara dalam melaksanakan mandat dan tanggungjawab memerlukan perhatian serius daripada pihak berkaitan manakala manakala syor utama dalam LKAN perlu dilaksanakan dengan berkesan.

"Dalam Ketua Audit Negara melaksanakan mandatnya, Dewan yang mulia ini meminta semua pihak bersatu hati dan menyokong kerajaan agar dapatan audit dan syor dalam LKAN dapat diambil tindakan serius oleh pihak terbabit.

"Ia untuk mengatasi kelemahan ditemui, seterusnya mengelak ketirisan wang awam daripada terus berlaku," katanya.

LKAN 2021 dibentang pada 16 Februari lalu, merangkumi LKAN 2021 Siri 2 mengenai Aktiviti Kementerian atau Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan; LKAN 2021 mengenai Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan serta LKAN 2021 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.