Seorang ahli kelab penyokong kerajaan mempertikai keperluan menanggung kos bantuan kebajikan dan pusat penahanan sementara bagi pelarian. |
KUALA LUMPUR: Dana awam yang dibelanjakan terhadap golongan pelarian dan pencari suaka lebih baik digunakan untuk rakyat Malaysia yang masih merasai kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19, kata seorang ahli kelab penyokong kerajaan.
Isam Isa (BN-Tampin) berkata, Putrajaya masih memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian, walaupun Malaysia tidak menandatangani konvensyen pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Katanya, kerajaan masih memikirkan kebajikan pelarian dan pencari suaka selepas pandemik, seterusnya mengiktiraf cadangan Suhakam berkaitan golongan itu dalam laporan tahunannya pada 2020.
“Bagaimanapun, perlukah kita terus menanggung segala permasalahan dibawa pelarian dan pencari suaka ini seperti dalam hal kebajikan dan penyediaan tempat tahanan sementara yang menelan kos jutaan ringgit setiap tahun?
“Sedangkan perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan boleh saja disalurkan untuk tujuan lain seperti membantu warga tempatan yang terkesan dengan pelbagai tekanan hidup akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika perbahasan laporan Suhakam 2020 di Dewan Rakyat.
Berhubung hak masyarakat lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Isam menggesa supaya Suhakam membentuk naratif sendiri seiring nilai-nilai dan norma di Malaysia, dan bukannya sekadar mengikut apa yang ditetapkan PBB.
“Jika kita hanya menjadi seperti pak turut saja tanpa naratif balas ia seolah-olah negara kita dijajah suatu bentuk penjajahan baharu yang melakukan transformasi hilai hidup dan undang-undang atas nama hak asasi manusia,” katanya.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment