Presiden Pas, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (dua dari kanan) ditemani Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) menyerahkan kad keahlian PAS kepada Tan Sri Annuar Musa (kiri) pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Senawang. - Foto AZRUL EDHAM

SEREMBAN: Presiden pertubuhan bukan kerajaan Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa sah menjadi ahli PAS, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, PAS menerima keahlian bekas Ahli Parlimen Ketereh itu bersama 3,000 ahli baharu yang lain hari ini.

"Ramai memohon masuk dalam PAS, BERSATU...(selepas ini), tokoh masyarakat lain yang diterima masuk ke parti ini akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi turut menyerahkan sijil keahlian kepada Annuar.

Sementara itu, Annuar berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kepemimpinan tinggi parti PAS dan PN yang menerima keahliannya itu.

"Saya bersyukur pada malam ini saya dapat bersama dengan semua (penyokong PN) pada hari bersejarah bagi diri saya, (keputusan ini) tidak dipengaruhi oleh sesiapa," katanya. - BERNAMA