NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Status Facebook angka 126 ditulis pemimpin Bersatu timbulkan teka-teki

story-image

Angka 126 yang ditulis Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman menerusi Facebooknya semalam menimbulkan teka-teki mengenai apakah sebenar yang dimaksudkannya.

Muhammad Faiz bagaimanapun tidak menjelaskan sekiranya angka 126 itu adalah merujuk jumlah ahli parlimen atau sebaliknya.

"Wartawan tanya pasal 126 tu. Saya sebut maaf tiada komen. Just wait & see (Tunggu dan lihat). Saya juga tak pernah cakap itu nombor apa kan.

"Tapi dulu Anwar (Ibrahim) pun selalu sebut. 'I have the numbers' (saya ada angka)," tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Muhammad Faiz turut memuat naik satu tangkap layar pertanyaan wartawan berhubung angka berkenaan, yang bertanya sama ada PN mempunyai jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan.

"Maaf...berkenaan ini belum boleh komen lagi, cuma tunggu dan lihat," katanya lagi.

"126? Wartawan tanya, saya tak jawab. Faham-faham saja lah ok," katanya dalam satu hantaran berasingan di Facebooknya.

Semalam Muhammad Faiz menulis status di Facebook dengan menyebut angka 126 yang menimbulkan pertanyaan banyak pihak.

“126 dah..jika benar alhamdulillah,” katanya.

‘Sukar tumbangkan kerajaan’

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan menafikan dakwaan terdapat ahli parlimen dalam kalangan parti komponennya terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Mohamad berkata BN tidak akan memporak-perandakan kerajaan sedia ada kerana ia telah berjanji untuk membentuk kerajaan yang stabil.

"Untuk menumbangkan kerajaan sekarang saya rasa agak sukar kerana Akta Antilompat Parti telah berkuat kuasa dan mana-mana ahli parlimen yang mahu menyokong parti lain perlu meletakkan jawatan dan diadakan pilihan raya kecil.

"Kerajaan kini juga mempunyai majoriti yang agak besar sebanyak 148," katanya dalam sidang media di Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Akta Antilompat Parti yang diluluskan sebelum ini menghalang seseorang ahli parlimen untuk melompat parti, melainkan dia meletakkan jawatan dan diadakan pilihan raya kecil.

Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan perpaduan bersama BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan 82 kerusi parlimen dari PH, BN (30 kerusi), GPS (23 kerusi), GRS (enam kerusi), Parti Warisan (tiga kerusi) dan selebihnya dari Parti Bangsa Malaysia (PBM), Bebas dan KDM.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo