NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Projek PSI: NGO akan serah memorandum bantahan ke Parlimen



BANGI, Ahad – Bantahan terhadap projek Selatan Pulau Pinang (PSI) akan diteruskan sehingga ia dibatalkan sepenuhnya walaupun kerajaan negeri menyatakan hanya satu daripada tiga pulau tersebut akan dibina.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara), Ibrahim Che Rose berkata, memorandum itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada sidang akan datang.

Jelasnya, serahan memorandum itu susulan tiada perubahan selepas pihaknya menghantar surat bantahan tersebut kepada Anwar minggu lalu.

“Kita tetap akan bantah walaupun kerajaan negeri menyatakan hanya satu pulau akan dibina dalam projek PSI ini. Kami tidak mahu projek ini diteruskan, bukan tiga bukan satu, batalkan terus.

“Walaupun kami baru serah surat kepada Anwar pada minggu lalu, nampak gayanya ia tidak berkesan. Sehubungan itu, kami akan adakan perhimpunan aman di Parlimen selain menyerahkan memorandum bantahan kepada Anwar berhubung projek ini.

“Kami tidak akan berhenti membantah selagi projek ini tidak dibatalkan terus. Kami bukan mahu projek ini dikecilkan skopnya tetapi dibatalkan. Ini kerana, walaupun sebuah pulau sahaja, impaknya ke atas alam sekitar sama sahaja,” katanya dalam video Perhimpunan Aman Bantahan Terhadap Projek PSI di Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang pada Sabtu.

Katanya, memorandum tersebut adalah kedua selepas memorandum pertama diserahkan di Parlimen pada 2019.

Menerusi perhimpunan tersebut, seramai 4,000 komuniti nelayan dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir bagi menyatakan sokongan mereka terhadap bantahan tersebut.

Selain penduduk setempat dan Pen Mutiara, antara NGO lain yang hadir ialah Penang Forum, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Dalam pada itu, Ibrahim turut mencabar Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk turun ke laut bersamanya pada tarikh-tarikh tertentu bagi menunjukkan hasil laut yang berjaya ditangkap di kawasan rancangan projek berkenaan.

“Kami tidak pernah berpeluang untuk bertemu sendiri dengan Ketua Menteri. Kerajaan negeri selalu berkata bahawa kawasan yang dirancang ini tidak mempunyai sumber hasil laut yang banyak. Oleh itu, saya cabar Ketua Menteri untuk turun ke laut bersama saya.

“Lagi elok jika turun ke laut pada tarikh-tarikh yang tertentu, tengok sendiri berapa banyak hasil laut dapat ditangkap. Jangan hanya membuat keputusan daripada hasil kajian kerana semua itu berbayar,” katanya.

Sebelum ini, satu surat bantahan terhadap projek PSI telah diserahkan kepada Anwar oleh Pen Mutiara melalui Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim dalam satu perjumpaan di Restoran Pen Mutiara, Batu Maung.

Selain menyerahkan surat bantahan, Pen Mutiara juga menyatakan alasan-alasan bantahan mereka kepada wakil Perdana Menteri itu untuk dibentangkan kepada Anwar.

Antara kandungan surat bantahan itu adalah kesan kepada kawasan penangkapan ikan di kawasan teluk yang merupakan santuari dan cukup sesuai untuk ikan.

Selain itu, projek PSI juga akan menyebabkan nelayan akan kehilangan kawasan tangkapan di luar pantai yang mana aktiviti perlombongan pasir untuk penambakan dijalankan.


Sumber I Tv Pertiwi 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo