NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN berjumpa Anwar tuntut agihan peruntukan pembangkang



BANGI, Isnin – Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu berkait dengan agihan peruntukan melibatkan Ahli Parlimen pembangkang yang masih belum menemui titik noktah sehingga hari ini.

Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas terkejut dengan jawapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengatakan masih menunggu permohonan daripada Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang.

“Saya rasa tidak perlu berbuat demikian kerana bila Kerajaan Pusat sudah buat keputusan untuk memberikan peruntukan tersebut, sepatutnya ia dilaksanakan tanpa sebarang syarat,” katanya pada sidang akhbar pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Kawasan Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, kerajaan tidak sepatutnya menyulitkan proses untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang kerana ia adalah untuk kepentingan rakyat.

Katanya, Ahli Parlimen pembangkang kini berdepan pelbagai permohonan daripada rakyat termasuk untuk sumbangan, pembangunan dan kebajikan.

“Awalnya Perdana Menteri meminta saya bertemu Fadillah untuk membincangkan perkara tersebut dan ia telah dilaksanakan pada Ramadan lalu.

“Pada asasnya, perkara itu telah dijanjikan oleh Kerajaan Pusat yang ada sekarang ini termasuk di dalam manifesto pilihan raya mereka sendiri iaitu memberikan peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen tanpa sebarang syarat.

“Jika mereka mahu meletakkan syarat, sila kemukakan dan kita tengoklah sama ada boleh dipenuhi atau sebaliknya. Namun saya menyatakan tidak perlu buat permohonan atau apa-apa syarat.

”Pemberian peruntukan kepada ahli Parlimen sepatutnya menjadi amalan yang diteruskan daripada kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar kerajaan lebih prihatin terhadap keperluan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan mengambil tindakan secepat mungkin bagi menyelesaikannya.

“Sekarang ini sudah masuk bulan kelima untuk tahun ini dan pada Oktober nanti akan ada pembentangan bajet baharu. Jadi bajet sedia ada perlu digunakan dengan sewajarnya,” ujarnya. – UTUSANMALAYSIA



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo