NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahkamah arah Charles Santiago mohon maaf kepada Zakir Naik


KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago memohon maaf kepada penceramah dari India, Dr. Zakir Naik berkaitan isu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang dibangkitkan dalam ceramahnya pada 2019.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas berpuas hati kenyataan Charles (defendan) yang mengaitkan penceramah itu dengan penangkapan dua ahli DAP pada 10 Oktober 2020, adalah berunsur fitnah.

Penceramah kontroversi itu (plaintif) menyaman Charles selepas pemimpin politik itu mengeluarkan komen terhadap ucapan beliau berkaitan LTTE pada 25 November 2019.

Selepas membacakan keputusan tersebut, hakim berkenaan memerintahkan kedua-duanya yang ketika itu duduk di galeri awam agar tampil ke hadapan.

“Oleh kerana plaintif (Zakir) dan defendan (Charles) hadir hari ini, saya perintah kedua-duanya ke hadapan dan defendan memohon maaf kepada plaintif,” jelas Hakim Akhtar.

Charles kemudian memohon maaf berhubung kenyataannya yang kemudian diterima oleh Zakir.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Akhtar berpuas hati, walaupun defendan menyatakan ia tidak ditujukan kepada plaintif, kenyataan berkenaan merupakan serampang dua mata iaitu satu ditujukan kepada polis dan kerajaan dan satu lagi ditujukan kepada plaintif.

CHARLES Santiago hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan kes saman Zakir Naik terhadapnya. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Pada hemat beliau, implikasi daripada kenyataan terhadap Zakir itu bermaksud plaintif mempunyai pengaruh terhadap polis dan kerajaan dalam penahanan dua ahli DAP berkenaan.

“Walaupun kenyataan itu adalah ungkapan pendapat defendan, ia bersifat spekulatif dan belum disahkan serta tiada sebarang keterangan oleh defendan yang membuktikan kesahihannya. Oleh itu Mahkamah memutuskan bahawa kenyataan ini memfitnah plaintif,” katanya.

Hakim Akhtar turut berpuas hati, meskipun kenyataan itu berunsur fitnah mahkamah tidak yakin sama ada kenyataan itu mencemar imej dan reputasi Zakir.

Sebaliknya, mahkamah berpendapat kata-kata defendan tidak mencemar imej plaintif malah sebenarnya meningkatkan reputasi beliau sebagai individu berpengaruh di negara ini.

Sehubungan itu, Hakim Akhtar berpuas hati plaintif tidak layak mendapat sebarang ganti rugi dan oleh kerana kenyataan defendan memfitnahnya, mahkamah mengarahkan Charles mengemukakan pernyataan maaf secara terbuka.

Sementara itu, Zakir turut menyaman Charles berhubung kenyataan media pada 13 Ogos 2019 bertajuk `Wednesday Cabinet meeting Must Discuss Zakir Naik’s meddling into Politics’ sebagai maklum balas kepada kepada ceramah Zakir di Kelantan pada 8 Ogos 2019.

Charles mendakwa, ceramah itu berpotensi membangkitkan rusuhan kaum dan kekacauan kerana mempertikai kesetiaan masyarakat India di negara ini.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Akhtar berpendapat, topik yang ditimbulkan dalam ceramah di Kelantan tidak sesuai bagi konteks rakyat Malaysia kerana isu salah faham berhubung Islam oleh bukan Islam, tidak pernah dibangkitkan.

Pada hemat beliau, mahkamah berpendapat, isu tersebut tidak sesuai diperdebatkan di negara ini.

Jelas Hakim Akhtar, meskipun wujud isu salah faham, topik itu wajar dibangkitkan dalam kalangan masyarakat bukan Islam, walhal di Kelantan sebahagian besar yang hadir pada ceramah itu adalah beragama Islam.

“Mahkamah bersetuju dengan defendan bahawa ceramah itu boleh membangkitkan sentimen keagamaan dan mewujudkan suasana tegang dalam kalangan pelbagai penganut agama di Malaysia,” kata hakim berkenaan.

Hakim Akhtar selanjutnya menyatakan, isu menyentuh kaum Cina di Malaysia jelas menunjukkan rungutan peribadi Zakir yang diselitkan dalam ceramah itu selepas beliau diarahkan keluar dari negara ini.

Penceramah itu sebaliknya menyatakan kaum Cina juga patut diminta keluar dari Malaysia.

Sehubungan itu, mahkamah bersetuju dengan kenyataan media Charles bahawa ucapan Zakir boleh menimbulkan ancaman kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang kemudian mendapat teguran daripada pemimpin-pemimpin tempatan.

Beliau turut berpendapat, kata-kata Charles bahawa Zakir dicari oleh pihak berkuasa India berlandaskan kepada bukti bahwa kerajaan itu sudah tiga kali cuba mengekstradisi penceramah melalui bantuan Interpol menerusi notis amaran merah.

Mahkamah berpendapat, kenyataan pertama Charles tidak berunsur fitnah dan dibuat berdasarkan komen yang adil. – UTUSAN


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo