NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahkamah: Anwar diarah jawab pembelaan dalam tempoh 2 minggu



KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi tempoh oleh Mahkamah Tinggi di sini sehingga akhir bulan ini untuk memfailkan jawapan kepada pembelaan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim berhubung saman fitnah yang dikemukakan oleh Perdana Menteri terhadapnya.

Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar memberitahu wakil media, jawapan kepada pernyataan pembelaan itu perlu difailkan selewat-lewatnya pada 30 Mei ini.

Menurut Nair, mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes sehari selepas itu (31 Mei) untuk memaklumkan perkembangan status pemfailan dokumen kes saman tersebut.

Peguam itu memaklumkan demikian selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Aisyaf Falina Abdullah. Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin turut mewakili Anwar pada prosiding itu.

Pada 3 April lalu, Awang Solahuddin menerusi penyataan pembelaan mempersoalkan Anwar yang tidak mengarahkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan atau membuat pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 3 Mac lalu, Anwar, 75, selaku plaintif memfailkan saman terhadap Awang Solahuddin (defendan) berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkannya di lobi Parlimen, Februari lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam pernyataan tuntutannya berkata, defendan dengan sengaja memfitnah walaupun plaintif sudah menafikan secara terbuka bahawa beliau pada realitinya tidak campur tangan dengan tugas serta kuasa agensi penguatkuasaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar selaku plaintif mendakwa defendan membuat beberapa kenyataan yang merujuk kepadanya di lobi Dewan Rakyat, bangunan Parlimen di sini semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, pada 21 Februari lalu.

Beliau berkata kenyataan itu telah diterbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula oleh defendan kepada pemberita, yang terakam dalam bentuk audio dan video.

Menurut Anwar, pada 21 Februari 2023, kenyataan fitnah daripada audio dan video tersebut telah diterbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula oleh defendan di aplikasi TikTok melalui akaun di bawah nama “@asriasri64chanel”.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata pada hari sama (21 Februari) portal MalaysiaKini menerbitkan semula sebahagian kenyataan fitnah daripada audio dan video berkenaan menerusi dua artikel bertajuk `MP PAS: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir’ manakala dalam versi Bahasa Inggeris, bertajuk `Why no LCS charges, MP asks ‘more vindictive than Mahathir’ PM’.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, telah menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.

Beliau mendakwa Awang Solahuddin sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini Ketua Kerajaan Perpaduan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah. – KOSMO! ONLINE



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo