NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Giliran Umno ditunggangi Parti Cauvinis

1. Semua pihak maklum, Penyatuan Ummah bukan sahaja teras kestabilan politik Malaysia, malah menjadi pra syarat terpenting pembinaan semula Peradaban Islam di Alam Melayu yang tapaknya bakal bermula di sini. Tidak keterlaluan untuk dikatakan, hari ini negara Malaysia dilihat sebagai 'centre of gravity' kepada kebangkitan semula Tamadun Ummah di akhir zaman. 

2. Konsep Penyatuan Ummah buat masa ini sememangnya kelihatan niskala, namun boleh sahaja dirumuskan konsep ini seadanya. Penyatuan Ummah di negara ini ialah bilamana majoriti umat Melayu mendukung keindukan ajaran Islam dan hak Bumiputera sebagai citra pembangunan politik, ekonomi dan sosial, tanpa menafikan hak kaum minoriti untuk terlibat sama.

3. Dengan sebab itu, Penyatuan Ummah bukanlah satu ancaman kepada kaum bukan Islam dan bukan Bumiputera kerana ia selari dengan kontrak sosial yang menjadi asas terbentuknya negara Malaysia dan juga akar umbi sejarah rantau ini. Malah Penyatuan Ummah inilah yang akan memperkukuhkan interasi Malaysia dan mendorong kepada keharmonian antara kaum.

4. Agenda Penyatuan Ummah ini tidak digemari oleh pihak yang mahu merombak citra Malaysia yang asal, sebaliknya terus menerus mereka mahu memperjuangkan agenda Malaysian Malaysia dan Deklarasi Setapak. Mereka terus memperjuangkan agenda itu sama ada mereka berada di barisan pembangkang, apatah lagi jika mereka berada sebagai parti komponen dalam kerajaan.

5. Tumbangnya Kerajaan PH pada tahun 2020, telah mengumpulkan tiga parti terbesar umat Melayu iaitu BERSATU, PAS dan UMNO dalam barisan kerajaan. Ia turut disokong parti-parti pribumi dari Sabah dan Sarawak. Perkembangan ini sudah pasti membimbangkan parti Cauvinis yang sudah sekian lama memperjuangkan Cauvinisme Malaysian Malaysia mereka.

6. Parti Cauvinis ini sentiasa mengintai peluang bila sahaja ada sedikit keretakan kepada perpaduan umat Melayu. Pada tahun 1990, bila wujud parti Semangat 46 dengan segera mereka menghulur tangan membentuk gabungan Gagasan Rakyat. Dalam PRU tahun 1990, mereka hampir-hampir boleh menawan Pulau Pinang dengan memenangi 14 kerusi daripada 35 kerusi DUN. 

7. Gagasan Rakyat kemudian berkubur pada tahun 1995, antara puncanya bila mula berlaku perselisihan antara Semangat 46 dan parti Cauvinis dalam isu pelantikan Ketua Pembangkang dari kalangan ahli parlimen Melayu. Kemudian sekali lagi wujud keretakan kepada perpaduan umat Melayu apabila Dato Seri Anwar Ibrahim di pecat dari Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1998.

8. Kali ini parti Cauvinis mula membuka pintu untuk berkerjasama dengan PAS di dalam Barisan Alternatif (BA), meskipun mereka amat memusuhi perjuangan PAS sebelum ini. Bagaimanapun pada PRU 1999 mereka kalah teruk, manakala PAS pula memperolehi sebuah lagi negeri iaitu Terengganu dan memenangi 27 kerusi parlimen. Tokoh-tokoh besar Cauvinis mereka turut tumbang dalam PRU itu.

9. Bila mereka gagal menunggangi PAS di dalam BA, mereka telah memaksa PAS meninggalkan agenda memperjuangkan negara Islam. Mereka mengugut PAS untuk keluar dari BA jika PAS terus memperjuangkan agenda tersebut. Bagaimana Presiden PAS, Ustaz Fadzil Noor, dengan tegas menjawab, tidak akan meninggalkan agenda memperjuangkan negara Islam dan tidak bimbang jika mereka keluar dari BA.

10. Pada PRU 2008, BN dan UMNO mula melemah, manakala BA yang dianggotai oleh PAS dan PKR mula mendapat tempat di Selangor, Perak dan Kedah. Parti Cauvinis tersebut pula menang banyak kerusi di Pulau Pinang. Maka sekali lagi mereka menghulurkan tangan kepada PAS untuk membentuk satu gabungan politik bersama.

11. Ketika itu, sebahagian besar AJK Kerja PAS Pusat dikuasai oleh kelompok yang kemudiannya dikenali sebagai Anwarinas. Dengan pengaruh mereka dan pujukan PKR, PAS sekali lagi duduk dengan parti Cauvinis tersebut dalam gabungan yang dikenali Pakatan Rakyat (PR). Mereka cuba sekali lagi untuk menunggangi PAS bagi melaksanakan agenda Malaysian Malaysia mereka.

12. Selepas tiga tahun, pada tahun 2011 sekali lagi parti tersebut menunjukkan sikap sebenar mereka. Mereka terus menentang usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II yang telah diluluskan lama sebelum itu. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan MB Kelantan ketika itu tetap bertegas dalam hal ini, sanggup memutuskan hubungan dengan mereka dalam PR.

13, Akhirnya pada tahun 2015, selepas kelompok Anwarinas keluar dari PAS, Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan memutuskan hubungan dengan parti Cauvinis tersebut. Usaha mereka untuk menunggangi PAS demi kepentingan mereka sekali lagi gagal. Bagaimanapun, pada tahun 2016 peluang sekali lagi datang kepada mereka apabila ditubuhkan pula BERSATU yang merupakan pecahan dari UMNO.

14. Parti Cauvinis tersebut menghulurkan tangan kepada BERSATU dan kemudiannya terbentuk Pakatan Harapan (PH). Kali ini usaha untuk menunggangi parti Melayu benar-benar berhasil apabila PH berjaya membentuk kerajaan selepas PRU tahun 2018. Bagaimanapun, BERSATU sama seperti PAS, bukanlah parti yang semudahnya ditunggangi oleh parti Cauvinis tersebut.

15. Pada tahun 2020, BERSATU bertindak keluar dari PH dan menyebabkan kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan memerintah. Terbentuklah kerajaan yang dianggotai oleh parti-parti terbesar Melayu dan pribumi dari Sabah dan Sarawak. Sekali lagi parti Cauvinis tersebut gagal, malah kali ini berhadapan dengan agenda Penyatuan Ummah yang lebih solid.

16. Pada PRU 2022, kemenangan yang diperolehi oeh PH merosot berbanding PRU 2018. Semangat kerjasama antara parti-parti politik dalam kerajaan antara tahun 2020 hingga 2022 adalah antara faktor penting yang menyebabkan kemerosotan pencapaian PH. Bagaimanapun, parti Cauvinis dan PH mula mencium ada keretakan dalam kalangan parti-parti Melayu tersebut.

17. Maka parti Cauvinis sekali lagi membuka pintu mereka, kali ini berkerjasama dengan UMNO, parti yang mereka serang sejak lebih setengah abad yang lalu. Malah mereka adalah parti yang bertanggungjawab menyerang pemimpin-pemimpin UMNO sehingga bekas Presiden mereka dipenjarakan dan lain-lain pimpinan mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

18. Parti Cauvinis tersebut mula lembut gigi daripada lidah sehingga mempersonakan UMNO. UMNO sudah mula mempercayai ketulusan parti Cauvinis tersebut, malah menjemput mereka masuk ke kubu mereka, memecahkan tradisi kepimpinan UMNO sejak parti tersebut ditubuhkan. Apakah UMNO akan terus ditunggangi, seperti parti Cauvinis itu menunggangi 'kuda kayu' PAN dan PKR?

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo