NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fokus PN kini pada PRN bukan guling kerajaan



Perikatan Nasional (PN) menolak dakwaan ada menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan pihaknya sedar perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa dengan 74 kerusi dimiliki.

“PN tidak membuat SD, kita hanya ada 74 kerusi dan istiqamah. Kita sedar perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang yang berwibawa dan ia akan diteruskan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Silaturrahmi Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, di Taman Selaseh Fasa 2 pada Sabtu.

Turut hadir pada majlis anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak, Muhammad Hilman Idham itu, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas soal khabar angin yang mengatakan PN memiliki 126 sokongan ahli Parlimen, Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata fokus gabungan itu kini tertumpu pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi bukannya mengguling kerajaan.

“Fokus PN ke arah untuk kekalkan kerajaan di Terengganu, Kelantan dan Kedah serta cuba mencari jalan ambil alih Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Dalam semangat Syawal ini, kita tak perlu fikir berkenaan perkara itu (guling kerajaan). Biar fokus khidmat kepada rakyat dan eratkan silaturahim. Itu yang perlu dibuat,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata Perlembagaan membenarkan pertukaran kerajaan dilakukan dan itu bukan perkara luar biasa.

“Pertukaran kerajaan bukan perkara luar biasa atau perkara tidak boleh dilakukan kerana perlembagaan membenarkan untuk sesebuah kerajaan dirombak apabila gagal memenuhi aspirasi rakyat.

“Inilah keluhan rakyat ketika ini, apabila kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya umum tidak mampu menyelesaikan isu ekonomi, kos sara hidup dan lebih banyak bercakap daripada bertindak.

“Selagi ia terikat dengan peruntukan perlembagaan dan peruntukan undang-undang, ia boleh dilakukan,” katanya.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo