NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tertunaikah hak Kelantan di era Anwar?




PERSIDANGAN
 Parlimen yang berakhir dengan sesi Dewan Negara pada Selasa lalu dan Dewan Rakyat seminggu sebelumnya menyaksikan pelbagai perbahasan mengenai Kelantan terus dikemukakan.

Selain royalti yang telah dikupas dalam artikel sebelum ini, perkara paling menjadi tumpuan dan antara banyak juga disentuh di dewan mulia itu adalah mengenai pembangunan negeri.

Ia topik perbincangan yang tidak pernah terlepas dari perbahasan pada setiap kali persidangan, namun sejauh mana ia disempurnakan pihak Kerajaan Persekutuan, rakyat Kelantan lebih merasainya.

Semua itu terakam dalam Penyata Parlimen atau hansard yang menjadi bukti hak dan peruntukan serta keadilan atau kesaksamaan untuk Kelantan sentiasa diperjuangkan di sebaik-baik medan itu.

Tetapi sepertimana ramai yang tahu, Kelantan sejak tahun 1990 lagi telah dianaktirikan dengan dinafikan untuk mendapat pemberian seadilnya, bahkan peruntukan telah diluluskan pun ada dibatalkan.

Malangnya, bersama sekatan atau halangan disengajakan oleh sebab politik itu, mereka menjaja propaganda murahan dan mengejek-ejek negeri ini sebagai mundur, ketinggalan dan tanpa kemajuan.

Pembangunan berpaksi Islam

Dasar ‘Membangun Bersama Islam’ yang diketuai Menteri Besar, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diperlekeh dan disalah ertikan serta dihadapkan dengan pelbagai tekanan.

Namun, di bawah ‘Kepimpinan Ulamak’ yang teguh menjunjung dan memartabatkan al-Quran dan as-Sunnah itu, Kelantan berusaha menunjukkan contoh teladan sebuah pentadbiran berpandukan Islam.

Diterajui PAS, Kelantan menyusun dan memperkukuhkan kembali agenda Islam dalam kerajaan yang telah diletak tapak asasnya semasa pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum tahun 1959 dahulu.

Pembangunan insan menjadi tumpuan dengan kerajaan memperkasakan lagi pendidikan terutama melalui Yayasan Islam Kelantan yang telah ditubuhkan pada tahun 1974 dan sebelumnya tahun 1965 dengan menubuhkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri. 

Rentetan dari situlah tertubuhnya Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat diikuti Maahad Tahfiz Sains dan paling terbaru adalah Maahad Tahfiz Sains Tok Guru yang menggabungkan elemen tahfiz, sains tulen, penguasaan bahasa dan pengajian kitab turath.

Pembinaan manusia yang dilaksanakan itu seiring dengan usaha amar makruf nahi munkardilaksanakan di mana kerajaan telah mengawal aktiviti hiburan dan membanteras kegiatan atau amalan bertentang syarak dalam masyarakat.

Ketika sama usaha pembangunan dari penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (1960), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (1966) dan Perbadanan Stadium Negeri Kelantan (1967) terus dilangsungkan.

Perbezaan politik

Tetapi kerana beralihnya sokongan politik rakyat Kelantan pada tahun 1990 itu, negeri ini pun ‘dikerat’ dan didiskriminasikan, antara yang ramai ketahui adalah peruntukan berkaitan perbekalan air.

Bahkan negeri Cik Siti Wan Kembang ini bagai dilumpuhkan apabila peruntukan bagi keperluan mengadakan tebatan banjir dan menangani bencana itu ditangguh-tangguhkan sekian lama.

Kerajaan Pusat bahkan seperti berlepas tangan merealitikan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hingga ke Kelantan dan penyelenggaraan Lebuhraya Timur-Barat yang telah teruk strukturnya kerana dibina di ‘zaman Komunis’.

Itu tidak termasuk lebuh raya dalam negeri ini di mana jajaran perhubungannya penting untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi berikutan keluar masuk kenderaan begitu pesat bagi pelbagai tujuan atau urusan.

Begitu juga sewajarnya wujud Pelabuhan Persekutuan di negeri ini memandangkan kedudukannya di Lautan China Selatan dan bersempadan pula dengan aktiviti lautan beberapa negara jiran.

Kemudahan yang sepatutnya akan menjadikan Kelantan sebagai lokasi strategik bagi kegiatan perdagangan laut, sekali gus membawa limpahan ekonomi buat negara, termasuk mengimbangi kesibukan sedia wujud.

Selain itu, ia tentunya perlu menjadi pangkalan bagi tujuan keselamatan agar tindakan berkaitan dapat digerak atur dengan lebih baik dan menjamin perlindungan daripada sebarang bentuk anasir dan ancaman.

Paling semua pihak tidak dapat nafikan adalah sibuknya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dengan kod Kota Bharu (KBR) dalam pelepasan dan pendaratan pesawat setiap hari.

Walaupun pembesaran terminalnya telahpun bermula dan bakal siap tidak lama lagi, namun amat penting juga Kerajaan Persekutuan memberikan semula taraf ‘Antarabangsa’ kepada LTSIP.

Bahkan sebelum ini, syarikat penerbangan tambang murah terkemuka, AirAsia pernah berminat menjadikan lapangan terbang tersebut sebagai hab-udara bagi negara-negara rantau IndoChina.

Jika semua itu tidak terhalang selama ini, ditambah jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di samping perkhidmatan keretapi sedia ada, kerancakan pembangunan tersebut tentu dapat dibayangkan.

Sudah pasti pelabur akan memerhati dan menilai Kelantan sebagai antara potensi untuk pelaburan mereka di mana bakal menjana kewujudan kawasan industri dan teknologi serta peluang pekerjaan di sini.

Kelantan berdikari

Walaupun dipinggirkan selama hampir tiga dekad dan dimomokkan sebagai negeri yang jauh ketinggalan pembangunannya, Kelantan sentiasa menarik perhatian dan kunjungan hampir saban hari.

Hakikatnya banyak perubahan infrastruktur fizikal telah berlaku di mana pembinaan untuk masa depan juga giat dipacu dengan kemampuan sendiri serta kerjasama pelbagai pihak, selain peruntukan Persekutuan.

Antara pencapaian besar negeri ini tentulah dalam sektor pertanian, misalnya penghasilan beras terkini telah meningkat kepada 208 peratus, sekali gus menyumbang keperluan kadar sara diri (SSL) bagi negara.

Begitu juga bagi hasil sayuran dan buahan, ternakan dan perikanan juga melebihi bagi keperluan penduduk Kelantan yang membolehkan ia menampung permintaan di negeri-negeri lain.

Setakat rekod tahun 2021, pengeluaran kelapa meningkat kepada 166 peratus, daging kambing 190 peratus, buah-buahan (117 peratus), sayur-sayuran (98 peratus) dan ikan (93 peratus).

Kelantan juga ada projek Ladang Solar Terapung di Danau To’ Uban yang dikatakan terbesar di rantau ini di mana berkeupayaan menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 60 megawatt (AC).

Projek Hijau ini bukan sahaja bakal memberi manfaat untuk 86,000 isi rumah, tetapi juga membantu usaha pengurangan pengeluaran karbon dioksida hampir 180,000 tan metrik setahun.

Ironinya dalam usaha mengurangkan karbon dioksida tersebut, bumi Serambi Makkah ini menerusi Bandar Tanah Merah telah dianugerah Pengiktirafan Diamond bagi Kategori Zon Rendah Karbon. 

Ia dari penyertaan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) dalam Low Carbon City 2030 Challenge (LCC 2030) anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change Center (MGTC).

Selain itu, Kelantan sedang merintis usaha memperkenalkan penggunaan Tek-C hibrid iaitu beca solar bagi merancakkan lagi sektor pelancongan negeri di mana inisiatif ini akan dilaksanakan tahun hadapan.

Di Selatan negeri ini juga pintu masuk ke Kelantan, Gua Musang sedia menanti pelabur yang sebelum ini telah memulakan projek kilang simen untuk diteruskan dan dijangka mengeluarkan produk pertama tahun hadapan.

Menariknya juga, Kelantan menjadi negeri pertama yang mewujudkan Taman Perindustrian IBS yang merangkumi 47 lot industri seluas 120 ekar dan 60 lot komersial seluas 1.09 ekar di Machang.

Itu tidak termasuk keuntungan dicatat anak syarikat milik kerajaan negeri, pencapaian dan pengiktirafan berkaitan kewangan dan pengurusan serta integriti, selain paling utama istiqamah di atas landasan Islam.

Reformasi atau basi?

Ada banyak lagi yang tidak mungkin termampu untuk diperincikan di sini tetapi di pihak Kelantan sememangnya mengharap sikap tidak demokratik kerajaan-kerajaan terdahulu telah ditamatkan.

Menteri Besar, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob sendiri menunjukkan kesungguhan dan harapan kepada Kerajaan Persekutuan baharu apabila mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Seperti mana pinta beliau, hanyalah supaya Kerajaan Pusat meneruskan projek yang telah diluluskan oleh pentadbiran sebelum ini agar pembangunan dirancang tidak terbantut atau terhenti.

Pun begitu, segalanya terletak pada iltizam dan ikrar pernah Anwar ungkapkan menjadi pelbagai janji dan kalimat yang masyhur sama ada beliau membawa perubahan atau mengekalkan perangai mereka terdahulu.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo