karen nazlanKaren Cheah (Gambar: Facebook)

Memetik laporan FMT, beliau berkata, perbincangan itu tidak sepatutnya berlaku atau diteruskan kerana ia melanggar Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berpandangan bahawa menteri, yang juga seorang pengamal undang-undang dan memahami perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, sepatutnya mengingatkan dirinya sendiri tentang hakikat tersebut.

“Beliau juga meruapakan seorang ahli politik berpengalaman. Beliau sepatutnya mampu mengingatkan diri sendiri tentang Perkara 127 dan tidak sepatutnya menjawab soalan-soalan itu,” katanya.

Karen berkata demikian dalam forum bertajuk Public Forum on MACC, the Ex-PM and the Independence of the Judiciary anjuran Badan Peguam di sini, hari ini.

Walaupun beliau tidak menyebut nama menteri terbabit, ia dipercayai merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi tidaklah boleh dibincangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen kecuali atas suatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu, dan tidaklah boleh dibincangkan di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri.

Mohd Nazlan yang mengadili kes SRC International di Mahkamah Tinggi didakwa mempunyai konflik kepentingan kerana pernah berkhidmat sebagai ketua bahagian undang-undang di sebuah bank yang berperanan dalam penubuhan syarikat berkenaan.

Karen menambah, tindakan mana-mana Ahli Parlimen yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat mengenai siasatan tersebut juga dianggap bercanggah dengan Perkara 127.

"Bagi saya, Perkara 127 adalah penting kerana ia bertujuan melindungi integriti dan kebebasan institusi kehakiman.

“Badan eksekutif tidak sepatutnya membangkitkan isu ini di dalam Parlimen kerana ia boleh menjejaskan institusi kehakiman,” jelasnya. – MalaysiaGazette