NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ketua Penerangan Muda sahkan perletakan jawatan pegawai khas Hannah

story-image
⋅Ketua Penerangan Muda, Luqman Long mengesahkan perletakan jawatannya sebagai pegawai fungsi khas (strategi) kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menerusi ciapannya di Twitter, Luqman berkata, dia sudah memaklumkan untuk meletak jawatan sebagai ketua penerangan Muda sejak awal April lalu.

“Saya dah maklum untuk berhenti sejak minggu pertama bulan April 2023 lagi. Notis sebulan, pejabat pun dah tahu lama. 

“Huru hara semua bila saya tegur pasal rumah terbuka. “Cuba bertenang makan kuih raya tu haha,” ciapnya.

Bagaimanapun, Luqman tidak menyatakan sebab peletakan jawatan berkenaan.

Sebelum ini, timbul spekulasi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mungkin akan melupakan hasratnya untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) setelah mereka terus tidak menerima sebarang jawapan di sebalik telah menghantar empat surat kepada PH.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PH, khususnya dari PKR sering memperlekehkan parti berasaskan orang muda itu dengan melabelkan mereka sebagai tidak akan memberikan sebarang “nilai tambah” kepada kekuatan gabungan itu.

Semakan Malaysiakini di direktori laman sesawang Kementerian Belia dan Sukan, juga mendapati nama dan maklumat Luqman sudah tidak ditemui.

Luqman dilantik sebagai pegawai khas pada Disember tahun lalu susulan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Kontroversi timbul malam semalam apabila ciapan Luqman seperti menyindir Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mahu mengadakan rumah terbuka Hari Raya  tahun ini di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Ini berbeza daripada amalan lazim dengan sambutan diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, di Putrajaya.

Sebelum ini, Syed Saddiq juga dilaporkan berkata, Muda perlu menyelesaikan isu penyertaannya bersama PH sebelum membicarakan soal agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, sehingga kini Muda tidak dipanggil untuk terbabit dalam soal agihan kerusi pilihan raya.

Pada 9 September tahun lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan bahawa Majlis Presiden PH telah menerima permohonan secara rasmi Muda bagi menyertai PH.

Permohonan itu dikemuka Syed Saddiq dengan DAP menilainya sebagai suatu yang positif serta menggambarkan keistimewaan PH.

Anwar kemudian pada Okt dilaporkan berkata PH dan Muda akan bekerjasama dalam PRU15.

Pada masa sama, dia berkata majlis presiden memutuskan kerjasama itu akan diteruskan sebagai pakatan pilihan raya pada ketika itu kerana menurut Anwar perkara berkenaan perlu mendapat kelulusan daripada ROS untuk menjadi parti komponen PH.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo