NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan PH-BN ibarat kompas rosak

BUKIT KATIL: Kerajaan PH-BN diibaratkan seperti kompas yang rosak kerana dilihat tidak mempunyai hala tuju yang jelas, kata Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

“Kerajaan yang memerintah ini kita tengok sehingga ke saat ini ia berpusing-pusing tak tahu hendak pergi ke mana. Ia umpama kompas rosak.

“Macam kita nak cari kiblat dalam bilik hotel, sekejap dia tunjuk kanan, sekejap dia tunjuk kiri, sekejap ke belakang, sekejap ke depan. Pening kepala kita. Akhirnya kita keluar dari hotel itu pergi ke masjid sahaja,” ujar beliau.

Tuan Guru Zulkifli yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka itu menambah, perkara seperti itu berlaku kerana kerajaan yang ada pada hari ini dibentuk atas prinsip kompromi.

“Jadi rakyat hari ini dah jadi pening, apa sebenarnya arah tuju kerajaan yang ada? Jawapannya, sudah pasti ia tiada arah tuju, kerana kerajaan ini kerajaan kompromi.

“Kerajaan yang ditubuhkan kompromi daripada berbagai-bagai parti yang hakikatnya saling bertembung dan mempunyai matlamat yang saling berlawanan,” ujar beliau lagi.

Sungguh pun begitu, jelas beliau, semua yang berlaku itu mempunyai hikmah yang besar dengan Allah SWT mahu memperlihatkan parti mana yang sebenarnya benar-benar mampu mengeluarkan negara daripada krisis atau meletakkan negara dan rakyat dalam kacau bilau.

“Dan saya yakin insya-Allah dengan izin Allah SWT dalam tempoh terdekat ini insya-Allah kita berharap akan berlaku perubahan kerajaan dan PERIKATAN NASIONAL akan kembali memerintah negara ini.

“Dan memimpin rakyat untuk membangun dan membina kembali negara ini menjadi negara contoh dalam integrity, memenuhi tanggungjawab untuk mentadbir rakyat dan negara ini dengan cara yang terbaik, menjadi contoh kepada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Iftar Jamaie Dan Sambutan Badar Al Kubra PERIKATAN NASIONAL peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Dewan Mualim, di sini, malam tadi. (Foto atas)


Turut hadir ialah Pengerusi PN Negeri Melaka yang juga ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub, Timbalan Pengerusi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Ketua Penerangan yang Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof. – HARAKAHDAILY 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo