NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keracunan vape, Masuk ICU dek muntah darah

MANGSA muntah sebanyak tiga pain darah sebelum diselamatkan doktor. - Gambar hiasan . FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Batuk dan muntah darah hingga hampir mati kesan keracunan vape pada organ tubuh.

Itu antara amaran terkini dikongsikan Public Health Malaysia melalui laman Facebook (FB) pertubuhan itu, semalam kepada orang ramai berhubung bahaya amalan menghisap rokok elektronik (e-rokok).

Melalui maklumat dikongsikan di laman FB berkenaan, seorang penghisap vape tegar bernama Dustin, 45, terpaksa dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan mendapatkan bantuan oksigen selepas diserang muntah darah mendadak.

Difahamkan mangsa muntah sebanyak tiga pain darah sebelum berjaya diselamatkan doktor hospital.

Mangsa mengakui dirinya perokok tegar dengan menghisap sehingga 60 batang rokok sehari sebelum beralih minat terhadap vape berperisa.

Dia memberitahu menghisap vape sejak 10 bulan lalu dan menghabiskan masa sehingga 12 jam sehari dengan tabiat berkenaan.

Namun dia mengalami batuk tanpa henti hingga memuntahkan tiga pain darah di dalam beg plastik.

"Ketika itu dada saya berasa seperti dihempap 'gajah.' Mujur saya segera diberikan rawatan kecemasan dan diberi bantuan pernafasan oksigen," katanya.

Dia kemudian disahkan menghidap radang paru-paru disebabkan kesan pengambilan vape dipercayai mengandungi nikotin.

Susulan itu, dia menasihati orang ramai supaya berhenti menagih vape berikutan menganggap tindakan itu tidak berbaloi dengan kerosakan tubuh dialami.

Kelmarin, Public Health Malaysia turut berkongsi video pelajar sekolah yang diserang penyakit sawan kesan pengambilan vape atau rokok elektronik.

Perkongsian video itu menunjukkan beberapa pelajar sekolah dengan bangga menghisap vape dengan memakai seragam sekolah.

Seorang pelajar sekolah terbabit kemudian dilihat mengurut bahagian dada manakala seorang lagi pelajar sekolah muntah di dalam kelas dipercayai kesan pengambilan nikotin vape.

Salah seorang guru bernama Saifullah turut berkongsi kejadian apabila salah seorang pelajarnya meracau, bibir menjadi putih dan badan kejang seumpama sawan.

Beban kesihatan jauh atasi pendapatan negara

"Walau apa jua alasan diberikan pihak industri untuk menghalalkan penjualan vape nikotin, ia akhirnya tetap merosakkan generasi muda," kata Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Roslizawati Md Ali.

Menurutnya, keputusan kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) Jumaat lalu adalah ancaman kepada kanak-kanak dan remaja sekolah.

"Advokasi kami mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 adalah demi kemaslahatan rakyat supaya dijauhi musibah amalan merokok atau vaping.

"Hakikatnya amalan merokok punca utama kematian pramatang, penyakit kanser dan pelbagai jenis penyakit berbahaya lain.

"Bagi kanak-kanak pula, ia terbukti mengakibatkan sawan, penyakit neuro-vaskular, ketidakupayaan pembelajaran, kerosakan paru-paru, otak dan kesan buruk lain," katanya.

Menurutnya, kes vape turut menyentuh isu bebanan kewangan akibat bebanan kos perubatan yang bakal ditanggung.

Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) berkata, perkara perlu ditekankan adalah bebanan kewangan kesihatan perlu ditanggung kerajaan.

"Kajian mendapati beban kesihatan (health burden) jauh mengatasi pendapatan (revenue) negara.

"Kajian statistik 2020 menunjukkan jumlah kutipan RM2.7 bilion tidak dapat menampung beban tiga jenis penyakit sebanyak RM6.21 bilion, apatah lagi penyakit sampingan akibat tabiat merokok.

"Peningkatan peratusan penggunaan rokok elektronik juga kritikal, keseluruhan pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022. Peningkatan ini amat membimbangkan," katanya.

Menurutnya, terdapat banyak perkara perlu diperhalusi dan dibincangkan secara menyeluruh.

"Kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan amat prihatin. Tangan kanan kami membantu rakyat secara menyeluruh, sementara tangan kiri kami cuba memahami dan membantu kerajaan menyelesaikan di peringkat akar umbi.

"Perkara tidak membawa manfaat kepada rakyat seharusnya tidak dipertahankan," katanya.

-HMetro

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo