NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Nikotin: Kerajaan utamakan wang berbanding nyawa?


JAWATANKUASA Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL pada hari ini melahirkan kegusaran terhadap tindakan kerajaan menerusi Yang Berhormat Menteri Kesihatan yang telah mengecualikan sediaan cecair atau gel yang mengandungi nikotin daripada Senarai Racun di dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952 [Akta 366].

Tindakan ini diambil oleh Kerajaan ketika banyak pihak sedang giat untuk merealisasikan Generational End Game (GEG) atau Generasi Penamat bagi menoktahkan penjualan produk tembakau kepada mereka yang dilahirkan mulai tahun 2007.

Dengan pengecualiaan produk cecair atau gel mengandungi nikotin daripada Senarai Racun, perusahaan dan pengilang produk itu akan terus bertambah dan jumlahnya sukar dikawal, malah pengguna vape daripada kalangan anak muda dan remaja sekolah boleh mendapatkan produk vape dengan lebih mudah.

Jawatankuasa Kesihatan PERIKATAN NASIONAL kesal dengan kegopohan Kerajaan yang tergesa-gesa mengambil tindakan ini semata-mata mahu mengenakan duti eksais terhadap produk vape di bawah kawalan Akta Eksais 1976.

Adakah Kerajaan Madani lebih mengutamakan wang ringgit berbanding nyawa rakyat dan enggan melihat generasi akan datang yang sihat?

Jelas sekali Kerajaan Madani mengabaikan tentangan daripada kumpulan profesional seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Lembaga Racun Negara.

Walaupun kerajaan menerusi Belanjawan 2023 bersetuju bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, potensi hasil duti eksais itu berkemungkinan tidak dapat menampung impak negatifnya.

Lihat sahaja pada tahun 2020, kerajaan telah membelanjakan RM6.2 bilion bagi merawat pesakit merokok walhal kutipan cukai produk tembakau hanya berjumlah RM3 bilion.

Berdasarkan laporan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), dianggarkan terdapat seramai 1.5 juta orang pengguna vape di Malaysia pada tahun 2022.

Mereka terdedah kepada risiko penyakit paru-paru iaitu E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI).

Risiko ini terlalu besar untuk digadaikan dengan kutipan cukai yang bakal dilaksanakan kelak.

Kami menggesa Kerajaan menarik semula pengecualiaan produk cecair atau gel mengandungi nikotin daripada Senarai Racun dan menangguhkannya sehingga Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dimuktamadkan, dengan meminda kawalan terhadap sebarang aktiviti penggunaan dan perdagangan vape.

Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional menzahirkan tekad untuk berganding bahu dengan mana-mana pihak agar kita terus mengutamakan kesejahteraan rakyat dan masa depan generasi akan datang.

DATO’ DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL
4 April 2023 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo