NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pahang bentang RUU anti-lompat parti jika pembangkang sokong, kata MB

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri tidak akan membentangkan RUU itu jika tidak mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat. (Gambar Bernama)



KUANTAN: Kerajaan Pahang sedia membentangkan rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti di persidangan DUN Mei ini jika mendapat persetujuan dua pertiga wakil rakyat, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan membentangkan RUU itu jika tidak mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat.

“Kerajaan sekarang selepas PRU15 tidak mendapat sokongan dua pertiga daripada wakil rakyat, maka sokongan pembangkang perlu untuk meluluskan RUU itu. Kita akan dapatkan persetujuan pembangkang terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 untuk murid Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau.

Ditanya jika kerajaan negeri akan mengadakan libat urus bersama pembangkang berhubung perkara itu sebelum persidangan DUN akan datang, Wan Rosdy berkata mereka mempunyai cara untuk melaksanakannya.

Pahang antara negeri belum melaksanakan undang-undang anti-lompat parti sejak ia berkuat kuasa pada 5 Okt 2022 selepas diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala lapan kerusi lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Mengulas mengenai program BPP, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM2.514 juta kepada 25,146 murid Tahun 1 dengan masing-masing menerima RM100 dengan agihan bermula hari ini hingga 7 April di semua 540 sekolah rendah di Pahang.

Bagi tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM42.4 juta untuk BPP, meningkat RM8 juta daripada tahun lalu, yang akan memanfaatkan 218,193 penerima terdiri pelbagai peringkat golongan sasar.

BPP diperkenalkan pada 2020 selari hasrat kerajaan negeri untuk memulangkan semula hasil dan keuntungan yang diperoleh kepada rakyat menerusi pemberian pelbagai bentuk bantuan.


Sumber I FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo