Gambar yang dikongsikan NADMA, pemantauan udara bomba di bandar Segamat
Gambar yang dikongsikan NADMA, pemantauan udara bomba di bandar Segamat

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di empat negeri terus meningkat malam ini dengan 31,375 orang ditempatkan di 241 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 29,091 mangsa petang tadi.

Di JOHOR, jumlah mangsa meningkat kepada 28,486 orang setakat jam 8 malam ini berbanding 26,633 orang petang tadi dengan sebuah lagi PPS dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 198 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), memaklumkan, Segamat masih teruk terjejas dengan 2,933 keluarga dipindahkan ke 70 PPS, diikuti Kluang (1,485 keluarga/37 PPS); Kota Tinggi (761 keluarga/18 PPS); Johor Bahru (366 keluarga/tujuh PPS) dan Pontian (65 keluarga/empat PPS).

Turut terjejas daerah Muar dengan 650 keluarga ditempatkan di 13 PPS; Kulai (167 keluarga/tiga PPS); Mersing (177 keluarga/ enam PPS) dan Tangkak (335 keluarga/ 18 PPS) serta Batu Pahat (1,018 keluarga/22 PPS), menurut jawatankuasa itu.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat malam ini dengan 1,769 mangsa berada di 27 PPS berbanding 1,373 mangsa di 25 PPS, tengah hari tadi.

Bera menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila sebuah PPS dibuka petang ini bagi menempatkan 29 mangsa manakala Rompin terus merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,068 orang di 13 PPS diikuti Maran dengan 402 orang di lima PPS.

Seramai 106 mangsa lagi berada di dua PPS di Pekan, Jerantut (96 mangsa/1 PPS) dan Raub (68 mangsa/ lima PPS).

Di NEGERI SEMBILAN, Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan seramai 1,042 mangsa daripada 290 keluarga ditempatkan di 12 PPS setakat jam 8 malam ini membabitkan Tampin dan Jempol, manakala dua PPS di Kuala Pilah telah ditutup pada jam 4 petang tadi.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, dalam kenyataan, turut memaklumkan tiga laluan ditutup kepada semua kenderaan akibat dinaiki air iaitu di Jalan Londah-Pasir Besar (jalan ladang), Jalan Gemas-Seremban (Jambatan Sungai Kelamah) dan Felda Jelai 2-Pasir Besar (laluan utama).

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 78 mangsa daripada 20 keluarga pada jam 8 malam ini berbanding 49 mangsa daripada 15 keluarga pada 12 tengah hari tadi.

Sekretariat JBPN Melaka, dalam kenyataan, memaklumkan satu lagi PPS di Jasin dibuka pada jam 1 tengah hari membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat yang menempatkan 30 mangsa daripada lima keluarga.

"Selain itu, PPS SK Chohong menempatkan 36 mangsa dari sembilan keluarga juga di Jasin manakala 12 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bukit Tambun di Alor Gajah.

"PPS SK Asahan yang sebelum ini dibuka telah ditutup pada jam 2 petang tadi manakala SK Parit Penghulu baru dibuka pada jam 7.30 malam tadi dan dalam proses pemindahan mangsa," katanya.

Sementara itu, di SABAH, bencana banjir di negeri ini pulih malam ini dan semua mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sekretariat JPBN Sabah, dalam kenyataan, memaklumkan PPS terakhir iaitu Dewan Mini Kampung Simpang Entilibon di Tongod sebelum ini menempatkan 108 orang daripada 24 keluarga ditutup petang tadi. – BERNAMA