GAMBAR fail, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam bagi sambungan prosiding perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto BERNAMA
GAMBAR fail, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam bagi sambungan prosiding perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, jam 8.42 pagi, dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) hitam.

Bekas Perdana Menteri itu hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan hari ini sama ada beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 9.13 pagi.

Terdahulu, kira-kira jam 9.07 pagi, anak Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa, dilihat tiba di mahkamah bagi mengikuti prosiding yang dihadapi bapanya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, akan menyampaikan keputusan itu pada jam 9 pagi.

Tahun lalu, Arul Kanda menjadi saksi dalam kes itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 7 September 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD), Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya di antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib akan mewakili pendakwaan manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N Sivananthan masing-masing hadir bagi pihak Najib dan Arul Kanda.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dan setakat ini, pendakwaan telah memanggil 44 saksi.

Dua lagi kes membabitkan pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.