NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KDN akui terdapat kecuaian dalam kes penjara silap hantar mayat

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) ketika sesi penggulungan belanjawan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen.


KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri mengakui terdapat elemen kecuaian dan kelemahan sistem dalam kejadian kesilapan tertukar identiti banduan yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, pada 3 Mac lepas. 

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sehubungan itu, pihaknya bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa lembaga siasatan serta merta bagi menyiasat perkara berkenaan.

“Tidak boleh ada sebarang kompromi terhadap aspek kecuaian, kita akan sentiasa mengambil langkah terbuka dalam penambahbaikan sistem identifikasi ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam kejadian berkenaan sebuah keluarga yang sedang melakukan persediaan untuk menyemadikan mayat anak mereka terkejut, apabila dimaklumkan bahawa anak mereka masih hidup oleh Penjara Sungai Buloh.

Kejadian itu menyebabkan keluarga mangsa tidak berpuas hati dengan pihak penjara sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang pada 4 Mac 

Saifuddin Nasution turut memberitahu, pihaknya bersedia membayar pampasan terhadap perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh keluarga berkenaan bagi urusan menyemadikan mayat, yang dianggarkan berjumlah RM20,000 dalam masa 48 jam.

Sementara itu menyentuh mengenai isu pengecualian yang diberikan kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, Saifuddin berkata Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Menteri tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Beliau berkata akta berkenaan yang mengawal tugas hakiki ROS, iaitu memastikan mana-mana pertubuhan mematuhi perkara dalam undang-undang tubuh dan melindungi kepentingan ahli dalam pertubuhan.

“Seksyen 70 Akta itu memberi secara khusus kepada menteri untuk membuat beberapa pengecualian, dan keputusan yang saya buat terarah kepada pengecualian pematuhan Seksyen 13 Akta yang sama,” katanya

Saifuddin Nasution berkata jika terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dan berasakan menteri melampaui batas kuasa, dia boleh membawa isu itu ke mahkamah.

“Sebelum saya memberikan pengecualian berkenaan, saya telah menerima pandangan-pandangan daripada pihak yang berkenaan,” katanya.

Terdahulu Saifuddin Nasution dalam kenyataannya berkata KDN telah memberi pengecualian kepada UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.

-- BERNAMA




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo