NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Hasil bumi dikebas, bahagi peruntukan dibeza-bezakan’


KUALA LUMPUR: Pembangkang dalam sebuah negara demokrasi selepas pilihan raya dianggap sebagai penasihat bagi melakukan muhasabah terhadap kerajaan, kata Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ini, katanya supaya kerajaan jangan syok sendiri dengan tidak menyedari kelemahan-kelemahan yang berlaku dan mestilah bertindak membetulkannya.

Menurut beliau, Khalifah Abu Bakar RA menegaskan dalam satu ucapannya yang bermaksud: “Wahai tuan-tuan semua! Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kamu. Oleh itu, sekiranya aku berlaku baik, maka tolonglah aku. Dan sekiranya aku ada melakukan salah silap, sila perbetulkan aku. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah daripada kalangan kamu adalah kuat di sisiku, lalu aku kembalikan kepadanya apa yang menjadi haknya. Dan orang yang kuat daripada kalangan kamu (yang merampas hak orang lain) pula menjadi lemah di sisiku, nescaya aku bertindak merampas daripadanya untuk dikembalikan kepada yang berhak”.

Tambahnya, tindakan melengahkan peruntukan di kawasan pembangkang dan kerajaan negeri yang dikuasainya adalah tidak tepat dengan prinsip Islam dan demokrasi.

Bahkan, kata beliau ia terlalu jauh daripada ajaran Islam yang menjadi agama negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sangat mencalarkan imej Islam.

“Selepas pilihan raya, semua pihak menjadi rakyat kepada mana-mana kerajaan yang memerintah, inilah konsep demokrasi yang betul.

“Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri termasuklah negeri pembangkang dan rakyat pembangkang, tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL.

Katanya, perlu disedari bahawa berlaku banyak ketinggalan terhadap orang Melayu dan bumiputera yang banyak berada di kawasan pedalaman, luar bandar, di Pantai Timur, Utara Semenanjung dan Malaysia Timur (Sarawak dan Sabah).

Menurut beliau, perkara tersebut berlaku sejak zaman penjajah lagi mengikut penyusunan masyarakat yang telah dibentuk oleh mereka bagi mewujudkan ketegangan pada masa hadapan, melalui kesempatan memeras semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Selain itu, ujarnya ia dilakukan bagi mengadu domba dalam kalangan mereka dengan meletakkan kaum Cina di kawasan bandar dan lombong, kaum India di kawasan estet dan membiarkan Melayu dan bumiputera di kawasan luar bandar, dengan mewujudkan jurang ekonomi dan sosial.

“Malah, tidak boleh dinafikan ramai juga masyarakat Cina di kampung yang dibentuk oleh penjajah dahulu dan kaum India di estet, berada dalam keadaan yang sangat miskin, bukan Melayu sahaja,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo