NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Guan Eng mahu saman jika Muhyiddin tak minta maaf, tarik balik tuduhan

story-image

Lim Guan Eng memberi tempoh kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sehingga Rabu (15 Mac) untuk memohon maaf kerana menuduhnya membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary semasa menjadi menteri kewangan.

Menurut pengerusi DAP itu, sekiranya Muhyiddin gagal memohon maaf dan menarik balik dakwaannya, dia akan memfailkan saman fitnah terhadap bekas perdana menteri itu.

“Muhyiddin sepatutnya memohon maaf dan menarik balik tuduhan jahatnya terhadap saya.

"Memandangkan beliau sibuk dengan kes pertuduhan ke atasnya oleh SPRM, termasuk menghadapi satu lagi pertuduhan oleh SPRM pada hari Isnin ini, saya akan beri beliau sehingga hari Rabu untuk menyatakan kebenaran dan membersihkan nama saya.

"Sekiranya beliau gagal memohon maaf dan menarik balik fitnah jahat beliau terhadap saya, saya akan mengarahkan peguam saya untuk memulakan prosiding perundangan saman malu dengan segera," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim semalam menafikan tuduhan dia membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary semasa menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Muhyiddin dipanggil ke SPRM semalam untuk direkodkan kenyataannya, dan antara isu yang dibangkitkan oleh agensi antirasuah itu ialah rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Muhyiddin memberitahu pemberita selepas disoal siasat bahawa dia akan didakwa atas tuduhan salah guna kuasa kerana memberikan semula pengecualian cukai yang diberikan kepada yayasan itu oleh pentadbiran BN.

Pada masa itu, dia mendakwa pengecualian cukai itu dibatalkan oleh Lim selepas PH mengambil alih kerajaan pada 2018.

Dalam kenyataan Lim hari ini, dia berkata dakwaan Muhyiddin terhadapnya adalah tidak berasas dan bertujuan untuk memainkan sentimen bagi mengalih perhatian rakyat daripada tuduhan rasuah yang sedang dihadapi oleh pengerusi Perikatan Nasional itu.

"Amat mudah untuk mengapi-apikan atau menghasut perasaan rakyat yang mampu menggugat harmoni dan ketenteraman awam dengan menuduh saya sengaja membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada sebuah pertubuhan kebajikan Islam,” kata ahli parlimen Bagan itu.

Sementara itu, Muhyiddin menjawab Lim dalam catatan Facebook hari ini, mengatakan bahawa bekas menteri kewangan itu tidak "menyentuh langsung intipati" kenyataannya.

Katanya, dia pernah menerima rayuan daripada Yayasan Albukhary berhubung pengecualian cukai itu ketika menjadi perdana menteri.

Dia juga dimaklumkan bahawa yayasan itu sebelum ini menerima pengecualian cukai untuk kerja-kerja kebajikan di bawah Seksyen 127 Akta Cukai Pendapatan.

Namun, menurutnya, selepas PH mengambil alih kuasa pada 2018, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) enggan melaksanakan pengecualian itu dan mengenakan cukai penalti 45 peratus ke atas yayasan itu.

"Lim adalah menteri kewangan yang bertanggungjawab ke atas LHDN pada masa itu.

"Oleh itu, beliau bertanggungjawab terhadap keputusan untuk mengenakan semula cukai dan cukai penalti 45 peratus ke atas Yayasan Al-Bukhary yang merupakan sebuah pertubuhan yang melakukan kerja-kerja amal Islam," kata Muhyiddin.

Sebelum ini Lim mencabar Muhyiddin untuk mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya.

Sehari selepas disoal siasat SPRM pada Khamis, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Dia juga akan menghadapi satu lagi pertuduhan rasuah di mahkamah Shah Alam Isnin depan, menurut Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo